Perikatan hendak lihat dulu intipati Bajet 2023 yang dikata Bajet BN

Wajah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin serius ketika tiba di Ibu Pejabat PN di Publika di ibu negara sebentar tadi. – Foto Malay Mail

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak tergugat dengan kemungkinan Bajet 2023 dijadikan ‘belanjawan gula-gula’ oleh Barisan Nasional (BN) untuk memancing undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yakin situasi itu tidak menjejaskan parti kerana PN sudah membuktikan kemampuan menjaga kebajikan rakyat ketika beliau menjadi Perdana Menteri sepanjang krisis pandemik COVID-19.

“Tidak, ia tidak merugikan kita. Kita akan dengar dahulu kandungan Bajet 2023 sama ada ia mencukupi, memadai, memberi tumpuan pada kumpulan terpilih atau tidak.

“Saya akan bahas dalam Parlimen nanti. Apa pun, ia tidak begitu membimbangkan kita kerana sebelum ini, bajet kita pun sudah beri perhatian pada rakyat.



“Waktu zaman saya tadbir negara pun kita dah beri tumpuan dengan belanjawan yang besar, pakej rangsangan yang banyak dan bantuan prihatin yang agak menyeluruh, di samping mengurus masalah COVID-19. Ini terbukti menjadi keutamaan kita.

“Kita nak tengok sama ada belanjawan ini menggambarkan hal sama atau ada perkara baharu. Tak adil untuk saya komen sekarang,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PN di Publika di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bajet 2023 yang dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat esok, bakal menjejaskan PN jika BN menjadikannya sebagai sebahagian janji PRU-15.

Bajet 2023 yang juga belanjawan terakhir sebelum PRU-15, berkemungkinan menjadi antara strategi parti yang menguasai kerajaan untuk menarik undi berdasarkan inisiatif yang bakal diumumkan esok.



Meskipun PN turut berada dalam kerajaan, Bajet 2023 dilihat akan lebih menguntungkan BN yang kini mengetuai pentadbiran kerajaan, dengan menjadikan belanjawan itu memenuhi hasrat dan visi BN jika kekal sebagai kerajaan selepas PRU-15.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button