GTA terima sepenuhnya Bajet 2023

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Bajet 2023 dibentangkan kelmarin sebagai amat menarik dan gabungan parti dalam Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri itu menerima sepenuhnya belanjawan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) juga memberi jaminan GTA akan melaksanakan semua yang disenaraikan dalam belanjawan itu jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain melihat apa yang perlu ditambah baik.

“Bajet itu nampak seolah-olah akan bantu semua lapisan, iaitu beri wang kepada semua orang. Bagi saya, itu amat menarik dan saya berpendapat parti kita GTA juga nak amalkan bajet semacam itu.



“Kita mungkin kaji sama ada boleh perbaiki lagi, tapi bajet itu kita terima sepenuhnya. Jika GTA menang (PRU15), kami akan laksanakan semua yang terkandung dalam belanjawan yang dikemukakan itu.

“Jika ada tempat-tempat yang kita perlu perbaiki jadi lebih baik, kita akan usahakan, tapi kita tak akan kurangkan apa yang telah dimasukkan dalam belanjawan yang dikemukakan itu,” katanya menerusi video yang disiarkan di Twitternya, hari ini.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu, memperuntukkan RM372.3 bilion bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan.

Dengan peningkatan peruntukan berbanding RM332.1 bilion dalam Bajet 2022, belanjawan tahun depan menetapkan sasaran memperkukuh momentum pemulihan dan daya tahan ekonomi serta melaksanakan pembaharuan menyeluruh.



Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum dilaporkan berkata, Bajet 2023 turut memberi tumpuan persediaan negara berdepan ketidaktentuan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun depan.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button