Kanak-kanak perlu dilindungi daripada ibu bapa berbahaya

Gambar hiasan.

Kanak-kanak apatah lagi bayi merupakan golongan rentan yang hak mereka perlu sentiasa dilindungi.
Hak mereka terjamin seperti mana yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 yang diratifikasi oleh Malaysia.

Ibu bapa pada asasnya adalah pelindung yang menjamin keselamatan anak-anak mereka.

Namun, mutakhir kini kes-kes yang melibatkan ancaman keselamatan kanak-kanak malah sehingga melibatkan kematian amatlah membimbangkan.

Sebagai contoh, pada Selasa kita dikejutkan dengan berita sedih seorang bayi tiga bulan ditemui mati dipercayai dibunuh oleh bapanya sendiri.



Siasatan awal menunjukkan bahawa bapanya mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan dadah, keganasan rumah tangga dan dikenali sebagai seorang yang bersikap panas baran.

Menjadi penjaga yang sah kepada kanak-kanak bukanlah bermakna ibu bapa atau penjaga boleh melakukan apa sahaja tindakan sesuka hati ke atas kanak-kanak tersebut.

Hak mereka perlu dihormati dan sentiasa dilindungi. Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam isu kanak-kanak adalah kesejahteraan dan kebajikan mereka.

Ini adalah prinsip yang terpakai di dalam undang-undang dalam menentukan hal ehwal kanak-kanak.



Dari sudut perspektif perundangan, apabila kes-kes ini melibatkan kematian, kes ini akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala, untuk kes-kes pengabaian, penderaan, kecederaan, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] adalah relevan.

Menurut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana penjaga termasuklah ibu bapa kanak-kanak tersebut yang yang menganiayai, mengabai, membuang, atau mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya atau bertindak cuai, boleh dikenakan hukuman sehingga RM50 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Jumlah hukuman ini telah dinaikkan daripada RM20 000 kepada RM 50 000 dan tempoh penjara daripada 10 ke 20 tahun selepas pindaan dibuat pada 2016 dalam akta ini jelas menunjukkan hal ini diambil serius oleh pihak berwajib.



Selain itu, Seksyen 28 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kewajipan anggota keluarga untuk memaklumkan pihak berwajib andai ada alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks.

Masyarakat terutamanya ahli keluarga perlu dididik untuk sentiasa cakna dengan keadaan ahli keluarga mereka dari kalangan kanak-kanak.

Peribahasa ‘jaga tepi kain orang’ tidak relevan dalam konteks ini memandangkan ahli anggota keluarga merupakan individu yang rapat dan mengetahui keadaan sebenar kanak-kanak tersebut.

Walaubagaimanapun, persoalan yang timbul adalah sejauh mana tahap kesedaran dan kefahaman khususnya ibu bapa dan masyarakat secara amnya berkaitan peruntukan undang-undang di atas.



Ibu bapa yang memahami peruntukan undang-undang ini akan mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam memastikan hak keselamatan dan kebajikan anak-anak dilindungi dan dipelihara.

Begitu juga dengan anggota masyarakat yang celik undang-undang, akan menunaikan tanggungjawab sosial mereka melaporkan pada pihak berwajib jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap hak anak-anak ini.

Hak kanak-kanak untuk mendapat perlindungan yang selamat perlu diperkasa dalam kalangan masyarakat. Kes-kes yang melibatkan kanak-kanak perlu diberi keutamaan.

Mereka adalah generasi yang bakal melakar masa depan negara.



Justeru, masyarakat perlu dididik untuk sama-sama berusaha untuk menjamin hak kanak-kanak sentiasa dilindungi.

Ibu bapa perlu kembali menginsafi kedudukan anak sebagai amanah yang memerlukan pengorbanan yang besar baik dari segi masa, tenaga atau wang ringgit.

Kependidikan keibubapaan perlu diterapkan dan ditekankan di dalam kursus kahwin umpamanya atau semasa sesi pemeriksaan antenatal ibu mengandung.

Hal ini perlu supaya bakal ibu bapa lebih bersedia secara mental dan fizikal tentang perubahan hidup yang pasti berlaku dengan kehadiran cahaya mata.



Persiapan menimang cahaya mata bukanlah hanya melibatkan persiapan fizikal seperti pakaian dan keperluan malah merangkumi kefahaman dan kemahiran untuk menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab.

Penulis, Dr Mashitah Abdul Mutalib dan Dr Nur Al-Farhain Kamaruzaman ialah Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button