Jenazah Nurul Nazihah selamat dikebumikan

KOTA TINGGI – Jenazah Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Sedenak, semalam, selamat dikebumikan, petang ini.

Jenazah Nurul Nazihah atau dikenali dalam kalangan ahli keluarga sebagai Azi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi, kira-kira jam 3.40 petang tadi.

Lebih 100 sanak-saudara dan rakan-taulan membanjiri kawasan tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir.



Suasana tenang bertukar hiba sebaik van yang membawa jenazah Azi memasuki kawasan perkuburan kira-kira jam 3.30 petang.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di Masjid An-Nur Kampung Lukut Batu Empat sebelum dibawa ke kediaman ibu bapanya.

Tinjauan di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut Batu Empat sejak pagi tadi mendapati ratusan saudara-mara dan sahabat-handai memenuhi pekarangan rumah keluarga Azi bagi menunggu ketibaan jenazah Allahyarham.

Malam tadi, tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.



Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan empat kenderaan, di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Sedenak.

Nurul Nazihah dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.

Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.



© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button