Bagnaia juara GP Malaysia PETRONAS 2022

SEPANG: Perebutan gelaran juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia bagi musim 2022 berterusan ke pusingan finale di Grand Prix (GP) Valencia pada awal bulan depan selepas Fabio Quartararo menafikan impian pelumba Ducati, Francesco Bagnaia memuktamadkan kejuaraan di sini, sebentar tadi.

Quartararo menyalakan pemburuan gelaran juara dunia apabila menamatkan perlumbaan dengan berada di tempat ketiga biarpun Bagnaia memperoleh kemenangan pada saingan GP Motosikal Malaysia PETRONAS 2022 di Litar Antarabangsa Sepang.

Bagnaia memenangi perlumbaan dengan catatan 40 minit 14.332 saat (s) manakala pesaing terdekatnya dari Monster Enery Yamaha MotoGP, Quartararo di kedudukan ketiga, ketinggalan 2.773s.



Pelumba Gresini Racing MotoGP, Enea Bastianini pula berada di tempat kedua dengan catatan 40’14.602s.

Bagnaia ketika ini mendahului carta keseluruhan dengan 258 mata manakala Quartararo yang juga juara bertahan, ketinggalan 23 mata sekali gus menyaksikan penentu gelaran bakal dimuktamadkan di Valencia.

“Saya melakukan permulaan yang baik dan kemudian mengambil risiko cuba memotong barisan pelumba di hadapan. Berada di belakang pendahulu awal iaitu Jorge Martin (Prima Pramac Racing) agak memberi kesan kepada tayar belakang saya, sebelum dia terjatuh.

“Hari ini kami sudah melaksanakan tugas dengan baik terutama sekali untuk perebutan kejuaraan dunia dan ia juga kemenangan kali ketujuh saya pada musim ini,” kata Bagnaia yang memulakan perlumbaan dari petak kesembilan.



Sementara itu, Quartararo berkata, dia sudah melakukan yang terbaik bagi mengekang Bagnaia daripada merangkul gelaran di Sepang.

“Saya rasa sangat gembira selepas sudah lama tidak menaiki podium. Saya sudah melakukan paling maksimum dan tidak dapat melakukan lebih baik daripada itu,” kata Quartararo.

“Apapun saya bangga dengan diri sendiri. Mereka (Bagnaia dan Ducati) melalui hari yang bagus tetapi kami juga dapat raih keputusan bagus. Walaupun peluang saya untuk memenangi kejuaraan dunia agak tipis, kami sudah melakukan segala-galanya untuk meneruskan persaingan ini sehingga ke Valencia.”

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading