Dua lagi didakwa culik warga Palestin

Kuala Lumpur: Dua lagi individu dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, berhubung kejadian culik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Mohd Zaidi Mohd Zain ,54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, kerana kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Wong Chai Sia.



Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan secara niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, jam 10.40 malam pada 28 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup, dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.



Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama.



Sebelum itu, seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September lalu.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button