Bimbang kadar faedah naik, bursa dijangka dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah dijangka menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tempatan dan menjejaskan sentimen risiko ketika para pelabur menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu depan.

Rizab Persekutuan AS dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas manakala BNM pula diunjur menaikkan 25 mata asas lagi.

Kedua-dua keputusan itu akan dibuat hanya selang sehari. Mesyuarat BNM dijadualkan pada 2 dan 3 November.



Hong Leong Investment Bank mengunjurkan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran kecil selepas lantunan semula daripada paras terendah dalam tempoh dua tahun pada 1,373 yang dicatatkan baru-baru ini.

“Aktiviti pengambilan untung mungkin mengehadkan kenaikan hampir pada paras 1,468 dan 1,480 manakala paras 1,500 dan 1,518 akan menjadi halangan yang lebih sukar.

“Dengan pemeliharaan modal sebagai kunci utama, kami menyarankan para pelabur untuk menumpukan kepada sektor bank, telekomunikasi, utiliti, pengguna, penjagaan kesihatan dan pembinaan, dan menjangkakan kerajaan baharu selepas pilihan raya akan terus memberi sokongan padu kepada penggunaan domestik,” kata bank pelaburan itu.

Bagaimanapun, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpandangan sebaliknya dan percaya penilaian semasa pasaran mungkin menarik minat daripada pelabur.



“Ini memberi prospek positif bagi pasaran domestik,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, FBM KLCI susut daripada paras 1,450 yang dicapai dua hari sebelumnya apabila aktiviti pengambilan untung muncul dalam pasaran.

Dagangan lengang dalam bursa tempatan itu adalah sejajar dengan prestasi lemah di pasaran serantau susulan pengumuman kadar faedah oleh Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 0.89 mata kepada 1,447.31 daripada 1,446.42 pada minggu sebelumnya.



Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 54.50 mata kepada 10,275.40, FBM 70 meningkat 207.94 mata kepada 12,236.57 dan Indeks FBMT 100 melonjak 44.39 mata kepada 10,014.85.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 125.11 mata kepada 10,322.51 dan FBM ACE naik 80.03 mata kepada 4,881.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 125.04 mata kepada 16,386.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.31 mata kepada 175.45, Indeks Perladangan meningkat 35.78 mata kepada 6,843.05 dan Indeks Tenaga naik 18.02 mata kepada 697.57.

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir ini, jumlah dagangan mingguan turun kepada 9.78 bilion unit bernilai RM8.08 bilion daripada 11.36 bilion unit bernilai RM9.03 bilion pada minggu sebelumnya.



Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.87 bilion saham bernilai RM5.77 bilion daripada 7.24 bilion saham bernilai RM7.85 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.36 bilion unit bernilai RM231.45 juta daripada 1.41 bilion unit bernilai RM232.65 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 2.55 bilion saham bernilai RM1.08 bilion daripada 2.71 bilion saham bernilai RM942.67 juta.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Deepavali.



Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button