Ditahan ketika leka berjudi

Johor Bahru : Seramai 22 individu termasuk sembilan wanita yang leka berjudi di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini ditahan dalam serbuan sepasukan polis malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor pada 11.10 malam itu, menahan suspek terdiri daripada 13 lelaki warga tempatan, lima wanita warga tempatan serta empat perempuan warga asing.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis ini dijadikan sebagai pusat judi dengan mensasarkan pelanggan warga tempatan.



“Dalam serbuan itu, polis menahan seramai 22 suspek berusia lingkungan 30 hingga 68 tahun.

“Turut dirampas 48 keping daun terup, tiga buah dadu, tiga keping resit perniagaan dan wang tunai RM62,530,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, kesemua tangkapan di siasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Sejak awal tahun sehingga semalam, polis kontinjen Johor sudah menyerbu 1,926 premis dan 2,515 individu berusia antara 19 hingga 68 tahun sudah ditahan.



“Sebanyak 1,005 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 13 unit tablet, 44 mesin judi, empat unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM679,931 dirampas,” katanya.

“Polis Johor memberi amaran tegas kepada individu atau pihak yang cuba menjadikan negeri ini tempat aktiviti perjudian tidak akan terlepas dan akan ditangkap,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button