Nilai Bellingham dijangka cecah RM1.08 bilion selepas Piala Dunia

LONDON: Peminat meramalkan Jude Bellingham akan menelan kos sehingga 200 juta pound (RM1.08 bilion) selepas berakhirnya Piala Dunia 2022 selepas menjadi pemain kedua termuda England berjaya menjaringkan gol.

Pemain tengah Borussia Dortmund itu membuka tirai jaringan buat skuad The Three Lions apabila menanduk masuk hantaran Luke Shaw pada minit ke-35 ketika pasukan itu menewaskan Iran 6-2 dalam aksi pertama Piala Dunia, malam tadi.

Jaringannya itu menyaksikan dia menjadi penjaring kedua termuda England pada usia 19 tahun dan 145 hari, di belakang Michael Owen.



Owen dua kali meledak gol pada usia muda buat The Three Lions, sekali ketika menentang Romania pada usia 18 tahun dan 190 hari sebelum menjaringkan gol kedua lapan hari kemudian pada pertemuan dengan Argentina di Piala Dunia 1998.

Peminat di media sosial meramalkan nilai Belligham akan ‘meroket’ tinggi jika dia terus mengekalkan prestasi sepanjang kejohanan berlangsung.

Bellingham dijangka meninggalkan Dortmund pada musim panas ini dengan beberapa kelab gergasi menyatakan minat bagi mendapatkan khidmatnya termasuklah Real Madrid, Manchester City, Liverpool Manchester United dan Chelsea.

“Tanda harga Bellingham akan menjadi 200 juta pound (RM1.08 bilion) selepas tamat kejohanan,” kata seorang peminat.



Seorang lagi berkata: “Bellingham sudah menelan kos lebih daripada 150 juta, kini dia mendominasi bahagian tengah England. Dia akan membuatkan Liverpool perlu membayar 200 juta pound (RM1.085 bilion).”

Sementara itu, bekas pemain England, Alan Shearer turut memuji aksi yang ditampilkan pemain tengah itu dan menyifatkan bermain di Bundesliga membantu mengembangkan kerjayanya.

“Ia memberinya pengalaman hebat (bermain secara kerap untuk Dortmund), membiarkan dia memahami permainan, mengetahui permainan dan saya fikir ia berkesan untuknya dan kerjayanya,’ kata Shearer.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button