‘Alhamdulillah, bantuan sudah tiba’

Pasir Puteh: “Tolonglah, bantuan tak sampai lagi, isteri sarat mengandung,” demikian rayuan jurujual kedai elektronik, Muhammad Imran Md Baliami menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya tengah malam tadi.

Hanya itu ikhtiar dapat dilakukan Muhammad Imran, 27, bagi memohon bantuan orang ramai selepas rumah keluarga mentua didiaminya di Kampung Temila Dalam, di sini, dinaiki air berikutan hutan lebat sejak 3 petang semalam.

Menurut Muhammad Imran, dia ada menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan bantuan, namun terpaksa dihebahkan juga di laman sosial dengan harapan mendapat pertolongan segera.

Katanya, dia risau apabila mengenangkan keadaan isterinya Nur Amira Zakaria, 27, yang sarat hamil anak sulung mereka dan dijangka bersalin pada 11 Januari depan.



“Saya kerja semalam, namun hanya setengah hari selepas terima panggilan isteri memaklumkan air sudah naik. Tanpa berlengah, saya terus pulang ke rumah dan membantu keluarga mentua mengalihkan barang.

“Bagaimanapun, hujan semakin lebat dan tidak berhenti hingga air naik. Takut sangat kerana air kali ini lebih tinggi berbanding sebelum ini dan boleh dikatakan banjir terburuk dalam tempoh 20 tahun,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Selepas memuat naik hantaran di FB, banyak panggilan diterimanya dan berterima kasih kepada mereka yang prihatin.

“Memang ramai telefon bertanya keadaan kami, terima kasih saya ucapkan. Cuma, apa yang diharapkan adalah bantuan untuk memindahkan kami sekeluarga ke tempat lebih selamat.



“Saya tidak mengapa lagi kerana yang lebih penting adalah isteri dan keselamatannya. Alhamdulillah, bantuan bot tiba 4.05 pagi tadi dan kami dibawa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 2, di sini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker