Santos buat keputusan tepat ‘rehatkan’ Ronaldo

DOHA: Jurulatih Portugal, Fernando Santos terpaksa menangguhkan keinginannya selama bertahun-tahun tetapi akhirnya beliau melakukannya juga dan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku pemain simpanan.

Percaturan itu nyata berbaloi apabila Goncalo Ramos meledak hatrik ketika membelasah Switzerland untuk menempah pertembungan suku akhir Piala Dunia dengan Maghribi malam esok.

Portugal kini muncul antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia dan dalam tempoh 90 minit mampu melenyapkan kritikan terhadap mereka yang dituduh “tidak bersemangat dan tidak menghiburkan.”



Kesukaran terhadap keputusan Santos berkisar kepada Ronaldo dan kemungkinan beliau akan dikecam teruk bukannya kerana kekurangan alternatif atau bimbang pasukan itu akan bergelut susulan ketiadaannya.

Di tengah padang Portugal mempunyai ramai pencabar yang mengagumkan mampu untuk mengambil alih tempat Ronaldo, daripada Ramos, pemain AC Milan, Rafael Leao dan pemain Atletico Madrid, Joao Felix.

Santos, 68, sehingga kini berasakan beliau wajib menurunkan pemain terhebat Portugal itu, pemenang lima gelaran Ballon d’Or dan penjaring gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman.

Jurulatih itu mengambil alih pada September 2014 selepas tersingkir teruk pada peringkat kumpulan di Brazil, menjuarai Euro 2016 sebelum kalah pada pusingan 16 terakhir di Russia empat tahun lalu di tangan Uruguay, yang dikalahkan mereka pada peringkat kumpulan kali ini.



Ronaldo bermula dalam setiap perlawanan Piala Dunia buat Portugal sejak terlepas aksi peringkat kumpulan menentang Mexico pada 2006 sebelum dia disisihkan ke bangku simpanan Selasa lalu.

Sekalipun pada perlawanan lain tanpanya Portugal membuktikan mereka boleh menanganinya atau lebih bagus, ia bagaikan terlalu sukar buat Santos untuk mengetepikan pemain berusia 37 tahun itu.

Ketika Portugal sudah memastikan tempat ke pusingan kalah mati, Ronaldo tetap bermula dalam kesebelasan utama menentang Korea Selatan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Apabila digantikan pada babak kedua dia mempamerkan kekecewaannya terhadap jurulatih itu, yang kemudian bercakap mengenai sikap dan tindak tanduk Ronaldo.



Santos kemudian menegaskan keputusan untuk merehatkan Ronaldo menentang Switzerland adalah disebabkan strategi bukannya alasan disiplin.

Kebergantungan terhadap Ronaldo – atau sekurang-kurangnya keengganan untuk mengetepikannya – menyebabkan Portugal merana dalam tempoh yang lama kerana mereka hilang dinamik di bahagian serangan, ketika semua usaha dilakukan untuk mengumpan kepadanya dan melakukan tugas bertahan yang tidak mampu dilakukannya.

“Itulah hasrat kami, apa yang kami mahukan,” kata Santos selepas membelasah Switzerland. “Kami mahukan pasukan yang bermain dengan tersusun, kami bermain dengan amat bagus.”

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading