Tragedi Queensland ragut enam nyawa

Tragedi Queensland ragut enam nyawa

Tragedi Queensland ragut enam nyawa
GAMBAR dari pemandangan udara menunjukkan tempat kejadian tembakan di hartanah di Wieambilla, Queensland. – AGENSI 

SYDNEY: Enam orang maut termasuk dua pegawai polis dalam satu kejadian tembakan di sebuah hartanah terpencil di Queensland, Australia.

Menurut pihak berkuasa, empat pegawai dari bandar Tara dihantar ke hartanah terletak di Wieambilla di wilayah Western Downs, kira-kira 270 kilometer (km) barat Brisbane untuk menyiasat laporan orang hilang.

Katanya, dua pegawai dalam lingkungan 20-an, ditembak oleh dua suspek bersenjata sejurus selepas mereka tiba di hartanah itu kira-kira pukul 4.45 petang (waktu tempatan).



Mangsa yang maut dikenali sebagai Rachel McCrow, 26, dan Matthew Arnold, 29 tahun.

Kedua-duanya berpangkat konstabel dan memulakan kerjaya sebagai anggota polis dua tahun lalu.

Dua lagi pegawai dilaporkan mengalami kecederaan yang tidak meragut nyawa dan dibawa ke hospital.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Polis dalam satu kenyataan mengesahkan tiga individu termasuk seorang wanita ditembak mati selepas pegawai pakar dan sokongan udara bertindak balas terhadap situasi pengepungan di hartanah itu.



Seorang lagi individu dipercayai orang awam turut terbunuh dalam kejadian itu.

Beberapa laporan tidak disahkan menyatakan suspek berkenaan dalam penyamaran ketika kejadian.

Persatuan Polis Queensland menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai perbuatan yang kejam dan menyasarkan pasukan keselamatan negara itu.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Queensland, Katarina Carroll berkata, insiden itu adalah kehilangan nyawa terbesar yang dialami polis negeri dalam kejadian sejak kebelakangan ini.



“Pegawai itu berkorban untuk memastikan komuniti kita selamat,” katanya sambil menahan sebak ketika memberi taklimat kepada orang ramai tentang peristiwa menyedihkan itu.

Kata beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kejadian itu dan cara polis mengendalikan situasi berkenaan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Menurut Carroll, pegawai yang mengalami kecederaan ketika ini sedang menerima rawatan di hospital.

Setakat ini, polis tidak memperincikan maklumat lanjut berhubung orang awam yang terbunuh dalam insiden itu.



Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menerusi ciapan di Twitter menyifatkan insiden itu sebagai `peristiwa mengerikan dan menyayat hati’ bagi keluarga dan pegawai polis Queensland yang kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas.

“Saya sangat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua yang berduka, Australia berkabung bersama anda,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Insiden tembakan besar-besaran jarang berlaku di Australia, yang mempunyai beberapa undang-undang senjata api paling keras di dunia.

Larangan ke atas senjata automatik dan separa automatik dilaksanakan sejak kejadian tembakan besar-besaran pada 1996 di Port Arthur, Tasmania yang meragut 36 nyawa. – REUTERS/AFP/AGENSI



 

Tragedi Queensland ragut enam nyawa


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Anwar Mesti Kurangkan Bercakap, Sekarang Masa Untuk Bekerja

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button