Warna menarik, sedap rasanya tapi awas bahana berbuka dengan air gas

Oleh – Syeikh Baran


Warna menarik, sedap rasanya tapi awas bahana berbuka dengan air gas
Air berkabonat bukanlah satu pilihan yang sihat jika dibandingkan dengan minuman lain terutamanya untuk berbuka puasa. Foto hiasan

Minuman berkarbonat atau dikenali sebagai air gas begitu popular dalam kalangan masyarakat kita baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Warna dan variasi rasa yang menyegarkan tentu membuatkan ramai membeli air itu untuk dijadikan penghilang dahaga musim panas termasuklah bulan Ramadan ini.



Walau bagaimanapun menurut perkongsian Pensyarah dan Dietitian Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, ia sebenarnya bukanlah satu pilihan yang sihat jika dibandingkan dengan minuman lain terutamanya untuk berbuka puasa.

“Air ini mempunyai tinggi kandungan gula, satu tin mempunyai lebih kurang sembilan sudu kecil gula di mana melebihi hak yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia sangat membimbangkan.

“Bila bulan Ramadan terutamanya diambil untuk berbuka, kita berisiko menghadapi kekeringan malah lagi teruk jika ia diminum ketika bersahur boleh menyebabkan badan mengalami dehidrasi,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Barakatun Nisak, apabila badan mengalami dehidrasi pada musim panas seperti sekarang ia boleh menimbulkan simptom lain seperti sakit atau pening kepala, keletihan melampau dan mengantuk yang teramat.



Ujar beliau lagi, berbuka puasa dengan minuman bekarbonat dan makanan tinggi karbohidrat menyebabkan peningkatan kadar gula darah secara mendadak walaupun bukan penghidap diabetes.

“Hormon yang dinamakan insulin di dalam badan akan bekerja keras untuk memastikan paras gula menjadi stabil semula. Untuk proses itu, badan kita akan mengalami ‘food coma’ di mana tubuh merasai kekurangan tenaga atau keletihan setelah makan, penat dalam segala hal.

“Selain itu, air gas juga akan menyebabkan perut menjadi kembung. Bila puasa, perut kita memang sudah mempunyai banyak angin namun jika ditambah dengan air berkenaan ketika berbuka, semakin teruklah keadaannya,” ujar Dr Barakatun Nisak.

Justeru, beliau berpesan kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya memantau pengambilan makanan dan minuman ketika berbuka puasa.



Katanya, menjalani kehidupan sihat bukan bermakna tidak boleh menikmati makanan dan minuman yang enak.

“Masih banyak alternatif kepada air berkarbonat di pasaran bukan sahaja sihat bahkan juga enak serta menghilangkan dahaga. Tidak salah untuk minum air gas, tetapi jangan sampai setiap hari,” kata beliau.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button