Dewan Tertinggi BN akur keputusan Lembaga Pengampunan

Oleh – Syeikh Baran


Dewan Tertinggi BN akur keputusan Lembaga Pengampunan
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini juga mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 

“Sempena Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju membentuk satu Jawatankuasa Khas bagi menyelaras semua program bersempena sambutan ulang tahun berkenaan pada Jun depan.



“Mesyuarat Dewan Tertinggi juga bersetuju mengenai beberapa pelantikan iaitu Pengerusi Jawatankuasa BN Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian-bahagian berdasarkan fasal 24(A),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 memutuskan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan hari sama memaklumkan, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Namun menurut kenyataan itu, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.



Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, Mesyuarat Tertinggi BN juga membincangkan dan bersetuju beberapa perkara penting lain berkait rapat perkembangan semasa negara.

Antaranya BN dengan takzimnya merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan pada 31 Januari lalu.

Sehubungan itu katanya, BN mendoakan pemerintahan Sultan Ibrahim membawa Malaysia ke arah lebih makmur dan sejahtera.

Dalam pada itu, BN turut menjunjung kasih ke atas Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading