Pentadbiran Ismail Sabri belanja RM62j penjenamaan Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Lebih RM62 juta dibelanjakan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjenamakan kerajaan ketika itu sebagai Keluarga Malaysia.

Ahli Parlimen Bera itu menjadi Perdana Menteri Kesembilan selama 14 bulan, mulai Ogos 2021 hingga November 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, memaklumkan jumlah itu mewakili lebih 98 peratus daripada keseluruhan RM62,764,107.25 dibelanjakan untuk penjenamaan kerajaan di bawah tiga Perdana Menteri sejak Mac 2020 hingga 30 Januari lalu.



Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, beliau menjelaskan, sejumlah RM181,752.20 digunakan untuk penjenamaan Kerajaan Prihatin di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala penjenamaan Malaysia Madani di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebanyak RM489,216.

“Berdasarkan rekod kewangan Jabatan Perdana Menteri, penganjuran program berkaitan penjenamaan semula kerajaan iaitu Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani, membabitkan peruntukan yang telah dibelanjakan sehingga 30 Januari 2023 adalah sebanyak RM62,764,107.25.

“Pecahan mengikut program adalah Kerajaan Prihatin dengan perbelanjaan RM181,752.20; Keluarga Malaysia, RM62,093,139.05 dan Malaysia Madani, RM489,216. Jumlah perbelanjaan berdasarkan program jelajah jerayawara yang dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan hingga kini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading) mengenai peruntukan dibelanjakan bagi penjenamaan kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin, Ismail Sabri dan Anwar, masing-masing dibawah konsep Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani.



Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020, manakala Anwar mengangkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022 dan melancarkan Malaysia Madani pada 19 Januari lalu.

Menurut Armizan, hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin berikutan negara ketika itu dilanda pandemik COVID-19 yang menyaksikan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri Kelapan memandangkan negara berada dalam tempoh PKP,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading