Bekalan air di Manjung, Perak Tengah pulih 50 peratus esok

PARIT: Bekalan air bagi 79,360 akaun pengguna di daerah Perak Tengah dan Manjung bakal pulih 50 peratus menjelang esok.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrasturktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika melawat kerja-kerja pembaikan paip di Rumah Pam Air Teluk Kepayang, Bota di sini, hari ini.

Jumaat lalu, kira-kira 400,000 isi rumah di dua daerah terbabit mengalami masalah bekalan air kerana berlaku pergerakan tanah yang mengakibatkan paip di dalam tanah berdekatan rumah pam berkenaan pecah lalu operasi penghantaram air ke Loji Rawatan Air Teluk Kepayang terpaksa dihentikan.



Menurut Mohammad Nizar, kerja-kerja pemasangan dan penyambungan semula paip dalam tanah di rumah pam itu sudah berjaya disempurnakan hari ini.

“Pembaikan paip yang pecah di dalam tanah sebesar 1200 millimeter (mm) diameter telah disempurnakan jam 2 pagi tadi. Jadi hari ini bekalan air sudah pulih sebanyak 30 peratus.

“Sekiranya semakan terhadap keadaan pam air dan bekalan elektrik boleh ditingkatkan, peratusan bekalan air yang dapat disalurkan akan bertambah sehinggalah ia sempurna 100 peratus.

“Jika lihat dari segi kerja-kerja awalan yang sudah disempurnakan, esok barangkali 50 peratus (bekalan air pulih) tu dapat. Kebarangkalian tu besar,” katanya.



Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada operator air dari negeri lain yang bertindak pantas menghantar lori tangki air ke lokasi terjejas di daerah Manjung dan Perak Tengah.

“Hasil gabungan usaha operator melalui usaha sama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), SPAN telah arahkan operator air daripada negeri lain untuk membawa tangki air ke Perak bagi menyalurkan bantuan sementara.

“LAP juga meletakkan 48 unit tangki statik selain bantuan lori tangki air daripada Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Ranhill SAJ (RSAJ), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Syarikat Air Melaka Bhd. (SAMB), Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),” katanya.

Ditanya mengenai sekolah di daerah Manjung yang terpaksa mengambil cuti hari ini kerana masalah bekalan air, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri akan cuba kenal pasti sekolah terbabit dan LAP akan diarahkan bagi menghantar sejumlah lori tangki air mengikut keperluan.



“Kita akan cuba kenal pasti sekolah terbabit dan LAP akan sediakan tangki air yang mencukupi.

“Jadi barangkali satu dua hari ni kita usahakan hantar jumlah tangki yang secukupnya,” katanya.

Yang turut hadir, Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abd Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing; ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md Salleh.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading