4 ditahan, dadah lebih RM5.42 juta dirampas

IPOH: Dadah lebih RM5.42 juta yang majoritinya jenis Ecstacy dirampas selepas menahan empat individu termasuk tiga wanita warga Vietnam dalam dua serbuan berasingan di Pantai Remis, daerah Manjung, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata serbuan terhadap dua rumah yang dijadikan makmal memproses dadah itu turut merampas hampir 80 kilogram (kg) dan menahan seorang lelaki tempatan serta tiga wanita warga Vietnam berusia lingkungan 32 hingga 39 tahun.

Beliau berkata, serbuan antara jam 7 pagi dan 3.30 petang itu, dikendalikan pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.



Mohd Yusri berkata, pemeriksaan di rumah yang disewa suspek lelaki itu menjumpai 245 biji pil Ecstasy seberat 100 gram (g) selain serbuk dadah disyaki juga jenis Ecstasy seberat 1,227g dengan anggaran nilai rampasan dadah di rumah itu RM95,043.40.

“Tangkapan ini membawa kejayaan kepada serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Panchor, Pantai Remis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah itu menemui 11,838 biji pil Ecstasy seberat 5,592g; serbuk Ecstasy (38,326g); dan cecair Ecstasy (31,311g).

Katanya, turut dijumpai daun kering disyaki ganja seberat 2,056g; ketulan kristal disyaki Methamphetamine (844g); dan heroin (162g) dengan nilai rampasan keseluruhan dadah di rumah itu RM5,42 juta.



Polis juga merampas bahan-bahan kimia dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja memproses dan membungkus dadah.

“Tindakan sita dilakukan ke atas tiga kenderaan mewah antaranya Ford Mustang, seutas rantai dan cincin dianggarkan bernilai lebih RM763,693,” katanya.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah Amphethamine manakala suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan jenayah lampau.

Mohd Yusri berkata, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022 yang mana dadah diproses kuantitinya mampu menampung permintaan seramai 258,214 penagih adalah bagi edaran pasaran tempatan di Perak.



Menurutnya, keempat-empat suspek kini direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 8 April ini bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading