Lelaki OKU rentung dalam kebakaran

GEORGETOWN: Individu dipercayai lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari, di sini, hari ini.

Mangsa ditemui di atas lantai dalam bilik air tingkat bawah rumah berkenaan.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, Jamil Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.11 pagi sebelum menggerakkan 40 anggota termasuk dari BBP Jalan Perak dan Bagan Jermal.



“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati api marak membakar rumah kedai dua tingkat dan maklumat awal diterima, terdapat seorang individu terperangkap di dalam premis itu.

“Anggota berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.43 pagi,” katanya di lokasi, hari ini.

Jamil berkata, mayat mangsa kemudian ditemui di bilik air yang terletak di bahagian belakang aras bawah rumah berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserah kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.



“Menerusi maklumat awal daripada orang awam, mangsa dipercayai lelaki OKU namun nama, usia dan butiran lanjut individu itu belum dapat dipastikan,” katanya.

Menurut Jamil, pihaknya dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa kedai berkenaan tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.

“Kemungkinan ada sumber lain iaitu penggunaan cahaya persendirian seperti lilin yang dipercayai menjadi punca.

“Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus,” katanya.



Ia adalah kejadian ketiga pada minggu ini membabitkan kematian mangsa dalam kebakaran.

Semalam, wanita OKU terlantar, Nuraida Hashim, 43, maut dalam kebakaran di Kampung Alma, Bukit Mertajam manakala seorang kanak-kanak, G Sri Laavanya, tujuh tahun ditemui rentung dalam kebakaran di Jalan Paya Terubong, Kampung Pisang Air Itam, di sini, lewat malam Isnin lalu.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading