Heroin 336kg diseludup ke Australia dari kawasan Segi Tiga Emas

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa Australia percaya heroin seberat 336 kilogram (kg) yang diseludup ke Australia menggunakan sebuah kontena dari Malaysia, bulan lalu adalah dari kawasan Segi Tiga Emas dan bukan dihasilkan dalam negara ini.

Ia dikesan hanya menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan jenayah rentas sempadan sebelum dibawa ke negara lain, termasuk ke Australia.

Dalam jawapan kepada pertanyaan yang diajukan BH, jurucakap Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, ini kerana lokasi Malaysia yang terletak hampir dengan kawasan Segi Tiga Emas atau ‘Golden Triangle’, antara faktor dijadikan pusat transit oleh sindiket penyeludupan.



“Seperti diketahui, Malaysia bukan negara sumber pengeluar heroin atau dadah terkawal lain, tetapi jarak geografinya terletak hampir dengan wilayah pengeluar heroin dikenali sebagai Segi Tiga Emas di Asia Tenggara.

“Oleh itu, Malaysia sebagai lokasi transit yang praktikal digunakan oleh sindiket jenayah terancang rentas sempadan untuk menyeludup dadah dari kawasan Segi Tiga Emas ke Australia,” katanya semalam.

Kawasan Segi Tiga Emas adalah kawasan yang terletak di banjaran pergunungan membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand.

Kawasan itu dikatakan mempunyai keluasan lebih 150,000 batu persegi dan dipercayai menjadi kawasan penanaman pokok popi yang dijadikan sebagai bahan utama dalam penghasilan heroin.



Kenyataan AFP itu sebagai mengulas kejayaan pihak berkuasa negara itu merampas 336kg heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

AFP dalam kenyataan minggu lalu berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan, iaitu terbesar setakat ini yang disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kilogram.

Semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Turut ditahan seorang lelaki warga Australia berusia 55 tahun pada 29 Mac lalu.



Dalam jawapan sama, jurucakap AFP berkata, kewujudan jumlah pengangkutan kargo laut dan udara yang sah antara Malaysia dan Australia yang tinggi, turut menyumbang kepada daya tarikan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penghantaran.

“Berdasarkan jumlah dadah dan taktik yang digunakan untuk menyembunyikan dadah berkenaan, pihak kami mengesyaki sindiket sama mendalangi kegiatan penyeludupan dadah terkawal ke Australia sebelum ini.

“Ini adalah rampasan heroin kedua terbesar di Australia, yang mana rampasan terbesar membabitkan 451 kilogram heroin pada September 2021, juga dihantar dari Malaysia,” katanya.

Tambah jurucakap itu, AFP mempunyai rangkaian kerjasama antarabangsa yang luas dengan pegawai mereka berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.



“Sebagai sebahagian daripada rangkaian ini, AFP bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan bantuan atau perisikan untuk membantu memerangi sindiket jenayah terancang rentas negara yang cuba menggunakan Asia Tenggara sebagai lebuh raya dadah maritim.

“Maklumat mengenai perkara ini sudahpun dikongsi dengan PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.

Mengenai sumber dadah dan sindiket yang mendalangi penyeludupan berkenaan, jurucakap AFP berkata, pihaknya tidak wajar memberi komen lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Rampasan dadah berkenaan turut menarik perhatian pelbagai pihak mengenai kemungkinan pelabuhan Malaysia menjadi pusat transit dadah.



Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JKDM mengemukakan laporan penuh dalam tempoh dua minggu mengenai kejadian berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.

Jelasnya, kerajaan memandang serius kejadian berkenaan dan jika dibuktikan sah ia adalah penyeludupan besar-besaran melalui Pelabuhan Klang.

Pada September 2021, media melaporkan AFP merampas 450kg heroin membabitkan penghantaran terbesar dalam sejarah Austalia ketika itu bernilai kira-kira AUD140 juta (RM431 juta).



Pihak berkuasa negara itu turut menahan seorang suspek lelaki warga Malaysia berhubung kes berkenaan, di mana dadah terbabit dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

AFP dilaporkan berkata, bekalan dadah 450kg atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diisytiharkan sebagai mengandungi jubin seramik.

Penghantaran itu tiba di Pelabuhan Melbourne pada 29 September 2021 sebelum pegawai ABF yang memeriksa kontena terbabit menemui 1,290 bungkusan mengandungi heroin.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading