Polis terpaksa lepas tembakan ke arah kenderaan

Kulim: Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas Honda Civic dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri secara agresif ketika cuba ditahan semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam kejadian 3 petang itu, anggota Balai Polis Kulim terserempak kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mencurigakan di Kampung Pondok Labu, Kulim.

Beliau berkata, ketika anggota polis terbabit cuba melakukan pemeriksaan, pemandu kereta berkenaan bertindak melarikan diri secara agresif sehingga hampir merempuh anggota polis.



“Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri yang terkena tayar hadapan kereta menyebabkannya pancit.

“Suspek kemudian terus bertindak memecut laju kenderaannya sehingga ke kawasan Empangan Mengkuang, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, pemandu lelaki yang berada dalam kereta itu berjaya ditahan sebaik keretanya terbabas dan berhenti di tepi jalan, manakala seorang lagi rakannya sempat melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Hassan berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui satu bungkusan disyaki dadah jenis syabu anggaran seberat 1.8 gram.



Beliau berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil semakan rekod mendapati, suspek mempunyai 24 kesalahan lampau termasuk jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kes ini diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Asisten Superintendan Azmirul Abdul Aziz di talian 04-4906222,” katanya.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading