Suami isteri dirempuh kereta masih dirawat di hospital

JITRA: Pasangan suami isteri yang juga peniaga nasi lemak di tepi Jalan Hospital, Taman Suria yang parah selepas gerai mereka dirempuh sebuah Proton Satria yang terbabas semalam, masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata peniaga lelaki berusia 55 tahun itu mengalami pendarahan dalam kepala, tulang pipi, rahang patah, luka berjahit di muka kanan dan tulang rusuk kanan retak.

Beliau berkata, isterinya pula mengalami kecederaan di kaki kanan dan kedua-dua mereka masih dirawat di HSB.



“Pemandu kereta Proton Satria itu iaitu lelaki berusia 20 tahun itu pula mengalami luka di kaki kanan manakala lima penunggang motosikal kesemuanya lelaki berusia antara 24 hingga 59 tahun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Jitra (HJ).

“Dua lagi mangsa iaitu lelaki berusia 46 dan 47 tahun yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kereta iaitu Proton Saga, Proton Perdana dan Proton Wira serta enam motosikal.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Proton Satria itu dari arah Tunjang menghala ke Batu 13, di sini, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.



“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit disyaki hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan kemudian terlanggar dua kereta serta enam motosikal yang sedang parkir di bahu jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Media semalam, melaporkan tiga kritikal manakala enam lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta Proton Satria yang terbabas di Jalan Hospital, Taman Suria, di sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku jam 8.25 pagi semalam berlaku ketika kesemua mangsa sedang berhenti di tepi jalan untuk membeli nasi lemak di situ.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button