Pearly-Thinaah mara ke final

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sensasi apabila mara ke final Masters Malaysia selepas menewaskan wakil Korea Jeong Na Eun-Kim Hye Jeon sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan yang berada di ranking ke-11 bagaimanapun memulakan aksi dengan goyah apabila satu ketika ketinggalan 6-11 sebelum bangkit memenangi aksi itu 21-19.

Skrip sama turut berlaku di set kedua apabila mereka sukar untuk mendapatkan mata sehingga ketinggalan 2-11 namun kembali merapatkan jurang kedudukan kepada 14-16.



Situasi bertambah gamat ketika Pearly-Thinaah cuba untuk menyamai kedudukan mata selepas itu namun Na Eun-Hye Jun terus mengasak dan ‘mencuri’ mata dari tangan pemain negara sehinggalah beregu Malaysia berjaya menyamakan kedudukan pada ketika 18-18.

Pearly-Thinaah mendahului 19-18 namun pihak lawan berjaya menyamakan kedudukan di saat genting sebelum mereka memuktamadkan kemenangan yang seakan ‘final’ dengan keputusan 21-19, 23-21 dalam tempoh satu jam 33 minit.

“Ia umpama mimpi buat kami berdua, sebab kami terpaksa menghadapi beberapa perlawanan yang memang memenatkan.

“Mungkin pendekatan lebih sabar berbanding lawan punca kami berjaya bangkit daripada ketinggalan.



“Terima kasih kepada peminat yang hadir bagi sokongan dan ia menjadi motivasi buat kami pada perlawanan ini,” kata Pearly kepada media selepas perlawanan.

Untuk rekod, pertembungan itu adalah yang kedua buat kedua-dua beregu dan kini mereka masing-masing terikat dengan satu kemenangan selepas Na Eun-Hye Jeong menewaskan mereka di suku akhir Seluruh England tahun lalu.

Menanti gandingan negara itu di final ialah seorang lagi pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee yang menewaskan beregu Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-19, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button