KENYATAAN MEDIA Peguambela YAB DS Ahmad Zahid Hamid

Berikut adalah kenytaan media dari Peguambela DS Zahid Hamidi berkaitan isu pembebasan beliau.

KENYATAAN MEDIA Peguambela YAB DS Ahmad Zahid Hamidi.

 



1. Kenyataan media ini disediakan berikutan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Dato’ Collin Lawrence Sequerah yang telah membuat perintah Dilepaskan Tanpa Dibebaskan terhadap kesemua 47 pertuduhan ke atas anakguam kami.

 

2. Bagi memberikan gambaran berkenaan latar belakang Tindakan Mahkamah tersebut kepada umum agar tidak wujud sebarang persepsi negatif terhadap institusi undang-undang di negara ini khususnya kepada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di antara pembelaan yang di kemukakan oleh anakguam kami di dalam pembelaannya di dalam Tindakan Mahkamah adalah ini merupakan suatu kes Pendakwaan Politik (Political Prosecution).

 



Dalam keterangan bersumpah anakguam kami di dalam mahkamah bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah memanggil anakguam kami dan memberikan arahan dalam nada yang tegas kepada anakguam kami untuk membubarkan UMNO atau untuk menerima sebarang akibat sekiranya arahan beliau tidak dipatuhi.

 

3. Perjumpaan dengan Tun Mahathir adalah pada Jun 2018. Anakguam enggan tunduk kepada ugutan Tun Mahathir tersebut dan pada 2 Julai 2018 anakguam telah di panggil oleh SPRM untuk tujuan siasatan dan tindakan mahkamah. Anakguam telah dituduh pada 19 Oktober 2018.

 



4.Daripada tarikh anakguam dituduh anakguam kami telah mengemukakan sebanyak lapan kali Surat Representasi kepada Jabatan Peguam Negara dan yang terkini pada 25 Januari 2023 memohon kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula pertuduhan tersebut dengan tujuan untuk menarik semula pertuduhan- pertuduhan tersebut di atas alasan dan sebab yang kukuh bahawa tidak ada asas bagi pertuduhan tersebut.

 

5. Pada 20 Februari 2023 selaku peguam kepada anakguam kami telah disalinkan satu surat daripada SPRM kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan Tindakan Mahkamah tersebut.

 



6. Surat SPRM tersebut menyatakan, antara lainnya: –

 

a. SPRM berpendapat bahawa penting untuk siasatan lanjut dibuat agar kes pendakwaan lebih kukuh dan SPRM sudah pun mula mendapatkan petunjuk-petunjuk dan bukti-bukti baharu;

 



b. Siasatan yang lebih menyeluruh adalah amat penting agar pasukan penyiasat dan pihak pendakwaan tidak dikecam oleh orang awam dan dituduh melakukan pendakwaan terpilih (selective prosecution) terutamanya selepas kes baru-baru ini terhadap Tan Sri Shahrir Samad di mana pegawai penyiasat telah mengaku di Mahkamah semasa disoal balas sewaktu perbicaraan bahawa pertuduhan telah dikemukakan sebelum siasatan lengkap sebagaimana yang telah berlaku dalam Tindakan Mahkamah tersebut;

 

c. Siasatan yang tidak lengkap ini telah menyebabkan reputasi SPRM selaku pasukan penyiasat dan Jabatan Peguam Negara selaku pasukan pendakwaan tercemar di mata masyarakat;

 



d. Demi menjaga nama baik dan reputasi kedua-dua agensi penguatkuasa undang-undang negara ini, wujud keperluan untuk proses merekodkan beberapa keterangan daripada saksi- saksi dan mengumpulkan lagi bukti-bukti bagi mengesahkan petunjuk-petunjuk yang SPRM perolehi sebelum ini dilakukan; dan

 

e. SPRM memberikan jaminan kepada Peguam Negara bahawa siasatan lanjut ini akan dijalankan secara menyeluruh, tanpa rasa takut dan pilih kasih serta lebih objektif dan sehingga ke akar umbi (no stones will be left unturned) akan di jalankan.

 

7. Berikutan daripada keputusan Peguam Negara pada hari ini, kami percaya bahawa keputusan Peguam Negara di sini berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu namun, ingin kami tekankan di sini bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

 

8. Malahan, ini bukanlah kali pertama untuk mana-mana Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan untuk menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di Mahkamah. Dalam erti kata lain, pelaksanaan budi bicara di bawah Artikel 145 (3), Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah suatu perkara yang biasa apabila Peguam Negara dapat menerima alasan-alasan yang diberikan oleh pihak tertuduh melalui representasi-representasi yang diberikan.

 

9. Tambahan pula, proses representasi ini juga bukanlah suatu perkara baru kerana ianya telah pun menjadi amalan sebelum ini tidak kiralah di pelbagai peringkat perbicaraan dari Mahkamah Majistret sehingga ke Mahkamah Persekutuan termasuklah kes-kes yang melibatkan hukuman mati mandatori.

10. Ketika perbicaraan juga pembelaan anakguam di peringkat pendakwaan dan di peringkat pembelaannya adalah konsisten. Beberapa fakta penting perlu di ketahui umum antara lain:-

 

a. Ucapan pembukaan pihak pendakwaan pada awal kes ini mula di bicarakan di Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa tidak ada satu sen pun dana Yayasan Akal Budi di gunakan untuk tujuan kebajikan. Pihak pembelaan telah pun membuktikan melalui saksi-saksi pendakwaan sendiri bahawa kenyataan ini tidak benar dan menunjukkan bukti bahawa sumbangan dan projek yang di kendalikan oleh Yayasan Akal Budi melebihi daripada RM 100 juta, untuk tujuan kebajikan dan amal jariah termasuk membina masjid di seluruh dunia, maahd tahfiz serta rumah anak yatim dan cetakan Al Quran.

 

b. Selain itu, Saksi pendakwaan sendiri termasuk bekas pembantu anakguam kami dan juga pakar dari Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa majoriti cek-cek yang di gunakan untuk membayar kad kredit bagi kes ini tidak di tandatangani oleh anakguam kami sendiri dan pembantunya telah menggunakan cop-cop tandatangan di atas cek-cek tersebut.

 

c. Saksi-saksi pendakwaan sendiri yang di panggil berkenaan 8 pertuduhan rasuah bagi kes ini juga telah menafikan bahawa mereka telah memberikan rasuah kepada anakguam kami.

 

d. Saksi utama bagi 27 kes Penggubahan Wang Haram kesemuanya telah mengesahkan bahawa wang yang di masukkan ke dalam firma guamannya tidak ada apa-apa yang mencurigakan dan melanggar undang-undang berkaitan wang yang di kendalikan bagi pihak Yayasan.

 

11. Dengan itu kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Barisan Pendakwaan.

 

Datuk Haji Hisyam Teh Poh Teik

Datuk Ahmad Zaidi Zainal

Hamidi Mohd Noh Aiman Abd Rahman

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button