Lima lelaki curi motosikal guna pistol, parang ditahan

Lima lelaki curi motosikal guna pistol, parang ditahan

Lima lelaki curi motosikal guna pistol, parang ditahan
Muhamad Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan peluru serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan mencuri yan dirampas dalam dua serbuan di Tanah Merah dan Pasir Mas. – Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan lima lelaki dipercayai terbabit dengan sindiket mencuri motosikal dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Pasir Mas, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam operasi itu, polis merampas sepucuk pistol bersama 13 butir peluru serta sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan haram berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dalam serbuan pertama pihaknya menahan dua lelaki berusia 21 dan 29 tahun di sebuah rumah di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, Pasir Mas.



Katanya, susulan penahanan dua suspek terbabit, anggota polis kemudian melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Panau, Tanah Merah, sebelum menahan dua lagi lelaki berumur masing-masing berumur 21 tahun.

“Ketika anggota membuat serbuan, mereka didatangi seorang lagi lelaki yang tiba-tiba muncul dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebilah parang.

“Anggota berjaya menahan suspek yang berusia 25 tahun dan hasil pemeriksaan telah menemukan sepucuk pistol yang diselitkan di pinggang suspek. Turut dirampas sejumlah peluru yang disimpan di dalam poket seluarnya.

“Semua suspek kemudian ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bagi siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.



Muhamad Zaki berkata, empat daripada suspek ditahan sehingga 9 November manakala seorang lagi suspek yang memiliki senjata dan gagal mengemukakan kad pengenalan diri direman sehingga 12 November untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958, Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN)1990.

“Hasil serbuan ini, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza, empat motosikal, satu rangka motosikal, satu enjin motosikal, peralatan curi motosikal dan lapan pil kuda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki turut berkongsi kejayaan anggota menahan seorang suspek lelaki yang peniaga berumur 34 tahun, bersama sepucuk pistol dan 27 peluru dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Lubok Jong, Pasir Mas, Khamis lalu.



Menurutnya, suspek yang juga memiliki dua pil kuda itu ditahan reman selama seminggu sehingga 9 November, serta kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Lima lelaki curi motosikal guna pistol, parang ditahan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button