Imam mengaku ‘telefon’ Tuhan sebelum sambut Aidilfitri awal

Oleh – Syeikh Baran


Imam mengaku ‘telefon’ Tuhan sebelum sambut Aidilfitri awal
RATUSAN jemaah menyambut ‘Aidilfitri’ dii Jogjakarta semalam. – Foto Kilat.com

Beratus-ratus jemaah Masjid Aolia di Jogjakarta yang menyambut Hari Raya Aidilfitri semalam berbuat demikian berdasarkan dakwaan pelik imam mereka, lapor media Indonesia.

Menurut portal berita suara.com, imam KH Ibnu Hajar Sholeh Pranolo atau lebih mesra dipanggil Mbah Benu berkata, dia telah menghubungi ‘Tuhan’ menerusi telefon untuk  bertanya tentang tarikh hari raya.



“Saya tidak menggunakan (kaedah) perhitungan. Saya ‘telefon’ kepada Allah. Ya, Allah  hari ini (Khamis) sudah 29 (Ramadan), bilakah 1 Syawal?,” katanya.

Ibnu kemudian mendakwa bahawa dia diberitahu tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat (semalam).

Menurut Suara.com, berdasarkan keyakinan itu, dia membuat keputusan untuk menyambut hari raya bersama jemaahnya semalam.

Para jemaah masjid itu yang tinggal di luar negara seperti Malaysia, India dan United Kingdom (UK) turut menyambut ‘Aidilfitri’ pada hari tersebut.



Dalam pada itu, Ketua Bidang Urusan Agama Islam, Pejabat Wilayah Kementerian Agama, Jauhar Mustofa berkata, pihaknya tidak dapat ‘memaksa’ jemaah Masjid Aolia mengikut penentuan hari raya seperti diputuskan oleh pemerintah.

“Kejadian itu bukan kali pertama berlaku, namun tahun ini ia jauh lebih awal (sambutan Aidilfitri berbanding keputusan yang diputuskan pemerintah),” katanya. 

Berdasarkan Kalendar  Hijrah Indonesia terbitan Kementerian Agama, 1 Syawal sepatutnya  jatuh pada Rabu ini,  namun pemerintah akan mengumumkan secara rasmi  tarikh Hari Lebaran. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button