Kahwin dalam perang

 

Oleh Pena Merah

Kahwin dalam perang
AFNAN Jibril (kiri) diiringi oleh bapanya semasa perkahwinannya di Sekolah UNRWA di kejiranan al-Salam di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. -AFP

Dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan, bertepuk tangan dan bersorak, wanita Gaza, Afnan Jibril, 17, tetap tersenyum riang pada hari perkahwinannya dan berazam untuk meraikan walaupun perang melanda.

Bapa Afnan, Mohamed Jibril berkata, walaupun Gaza dilanda perang, namun, dia tidak mahu kebahagiaan anak perempuannya musnah.



“Kami adalah orang yang mencintai kehidupan, walaupun kematian, pembunuhan dan kemusnahan,” katanya.

Saudara-mara turut berkumpul pada hari Jumaat lalu untuk perkahwinan zaman perang yang diadakan di sebuah bilik kecil di bangunan sekolah terbiar di bandar selatan Rafah di Semenanjung Gaza, berhampiran sempadan dengan Mesir.

Bandar ini mengalami serangan tentera Israel setiap hari dan keluarga kedua-dua pengantin adalah antara ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri dari pertempuran lebih jauh ke utara.

“Persediaan biasa untuk perkahwinan tidak mungkin dan upacara tradisional tidak dapat dilaksanakan.



“Bagaimanapun, pakaian boleh didapati, walaupun ia jarang dan mahal,” kata Mohamed.

Afnan menyarung mahkota bunga dan gaun putih bersih dengan sulaman merah terang, dan pasangannya Mustafa Shamlakh, 26, ingin memanfaatkan peluang jarang mereka untuk meraikannya.

Mereka menari dan ketawa ketika tetamu menyembur mousse putih di sekeliling bilik.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berdepan dengan realiti.



Kempen tentera Israel tanpa henti yang dicetuskan oleh serangan militan Palestin membunuh sekurang-kurangnya 23,843 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Peperangan bermula apabila militan Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,140 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Pengantin baharu itu merupakan sebahagian daripada mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan yang dianggarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berjumlah 1.9 juta rakyat Palestin daripada jumlah penduduk di Gaza sebanyak 2.4 juta.

“Rumah yang sepatutnya didiami pengantin lelaki musnah,” kata Ayman Shamlakh, bapa saudara pengantin lelaki kepada AFP.



Semasa perang berlangsung, kedua-dua keluarga berasa tiada apa yang dapat diperoleh daripada menunggu dan mereka bersetuju dengan perkahwinan itu. AFP

-Utusan-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button