Donald Trump menang besar

Oleh – Syeikh Baran


Donald Trump menang besar

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencatatkan kemenangan besar dalam undian kaukus Iowa untuk menjadi calon Presiden dari parti Republikan.



Menurut keputusan daripada Parti Republikan Iowa, Trump menerima 51 peratus undi, jauh meninggalkan Gabenor Florida, Ron DeSantis di tempat kedua dengan 21.2 peratus undi.

Bekas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley pula berada di tempat ketiga selepas memungut 19.1 peratus undi.

Trump memenangi sekurang-kurangnya 20 perwakilan, sementara DeSantis menerima lapan dan Haley memperoleh tujuh daripada keseluruhan 40 perwakilan dengan rangkaian media utama AS hanya mengambil masa 30 minit untuk menentukan pemenang selepas pengundian dimulakan.

Pengasas permulaan bioteknologi, Vivek Ramaswamy yang memenangi dua perwakilan, mengumumkan menarik diri daripada saingan tersebut dan menyatakan akan menyokong Trump.



Bekas presiden itu turut memecahkan rekod margin kemenangan 12 peratus yang dicatatkan dalam perlumbaan kompetitif calon presiden Parti Republikan di negeri itu sebelum ini.

Keputusan berkenaan sekali gus menguatkan hujah bahawa beliau adalah satu-satunya calon Republikan yang mampu menentang Presiden Demokrat, Joe Biden walaupun berdepan empat kes jenayah yang boleh dibawa ke perbicaraan sebelum pilihan raya umum 5 November ini.

Beliau dijangka hadir di bilik mahkamah minggu ini untuk pembukaan perbicaraan kes fitnah di Manhattan.

Sumber – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button