Tujuh ditahan babitkan kes larikan pekerja kontrak

Oleh – Syeikh Baran


Tujuh ditahan babitkan kes larikan pekerja kontrak

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 57 tahun antara tujuh ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes melarikan seorang pekerja kontrak di daerah ini pada 10 Januari lalu.



Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira pukul 1 pagi, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai kontrak pendawaian elektrik.

Lelaki itu mengatakan adik lelakinya berusia 27 tahun telah dikurung oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di daerah ini. 

Menurutnya, mangsa dikatakan berhutang dengan lelaki tersebut dan diarah untuk membayar hutangnya sebanyak RM25,000 atau akan dipukul. 

“Pada 11 Januari kira-kira pukul 10.30 malam, sepasukan polis dari Cawangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan IPD Seremban telah berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Mambau, Seremban. 



“Dalam serbuan itu pihak polis telah menangkap enam suspek berusia antara 31 tahun sehingga 57 tahun terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga warganegara Bangladesh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ujar Arifai, siasatan lanjut mendedahkan terdapat penglibatan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dalam kejadian berkenaan.

Katanya, pada 12 Januari lalu kira-kira pukul 11.15 pagi, tangkapan telah dibuat di sebuah daerah di Perak untuk membantu siasatan. 

Menurutnya, kesemua suspek dibenarkan direman sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.



Sumber – UTUSAN.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button