MBSP kompaun pemilik anjing serang, gigit pelajar

Oleh – Syeikh Baran


MBSP kompaun pemilik anjing serang, gigit pelajar
Tangkap layar rakaman CCTV kejadian pelajar sekolah diserang dan digigit seekor anjing di hadapan sebuah rumah di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat, Nibong Tebal.

Pemilik anjing yang menyebabkan kacau ganggu apabila haiwan peliharaannya menyerang dan menggigit seorang pelajar sekolah hingga tular di media sosial akan dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

MBSP dalam kenyataan memaklumkan siasatan dan pemeriksaan dibuat ke atas rumah yang diadu di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat, di sini, semalam.



Kenyataan itu menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati anjing yang dilaporkan telah dipindahkan oleh pemilik ke satu pusat perlindungan haiwan di Butterworth.

“Oleh itu, MBSP akan melaksanakan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi anjing terbabit dan tindakan dengan mengeluarkan kompaun menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik akan diambil.

“Mengenai kes gigitan anjing, perkara ini adalah di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.

“Kes ini akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia,” katanya.



Sebelum ini tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit dan lima saat di media sosial memaparkan dua pelajar perempuan berjalan kaki dipercayai untuk ke sekolah diserang dan digigit seekor anjing yang keluar dari sebuah rumah.

Berdasarkan rakaman itu, kejadian berlaku jam 7.28 pagi semalam.

Dalam video berkenaan, pemilik anjing terbabit menjerit dan cuba menghentikan tindakan haiwan peliharaannya, namun anjing miliknya terus menyerang dan menggigit mangsa hingga mangsa jatuh beberapa kali.

Seorang lagi pelajar menyelamatkan diri dengan menyorok di belakang sebuah kenderaan.



Insiden itu disedari seorang penunggang motosikal wanita yang melalui kawasan terbabit yang kemudian membantu pelajar perempuan berkenaan.

Bagaimanapun anjing itu terus bertindak agresif sebelum keluar seorang lelaki yang memegang sebatang kayu berlari mengejar haiwan itu bagi meleraikan kejadian terbabit.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading