‘MAS enggan salahkan pengurusan sebelum ini’

Oleh – Syeikh Baran


'MAS enggan salahkan pengurusan sebelum ini'
Aksi Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m seirama pada Kejohanan Dunia. – REUTERS

Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan melakukan ‘post mortem’ terhadap kegagalan penerjun negara menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada penyertaan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low, berkata badan induk itu enggan menuding jari kepada sesiapa termasuklah pengurusan sebelum ini susulan kegagalan berkenaan sebaliknya bersedia untuk melakukan perubahan besar bagi mempersiapkan penerjun negara menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Mungkin bukan rezeki kami kali ini, kami sudah melakukan yang terbaik bagi mempersiapkan atlet dan atlet juga sudah cuba memberikan persembahan terbaik. Ada antara mereka beraksi dalam keadaan masih cedera dan tidak boleh menampilkan prestasi terbaik mereka.



“Ada beberapa atlet masih dibelenggu kecederaan lama dan apabila latihan ditingkatkan, kecederaan itu kembali.

“Kami akan melakukan post mortem apabila pasukan pulang dari Doha. Kami akan mengatasi segala kelemahan yang ada. Kami akan bermula semula dan berharap dapat melahirkan atlet yang mampu bersaing di pentas Olimpik dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.

Andy menegaskan banyak perubahan perlu dilakukan termasuklah mentaliti atlet tetapi mengakui ia sesuatu yang mencabar mengambil kira cara pemikiran generasi baharu sekarang adalah berbeza.

“Jika anda lihat atlet profesional, mereka bayar semuanya untuk mengekalkan tahap prestasi mereka tetapi di sini kami bayar semuanya untuk atlet dan mereka hanya perlu pergi bertanding.



“Kita tidak boleh mempunyai atlet yang hanya fikir untuk layak buat kali kelima atau keenam di Olimpik.

“Atlet perlu letak sasaran untuk berada di podium selepas penampilan pertama mereka di Olimpik. Mereka perlu fikir untuk memperbaiki pencapaian mereka dan tidak hanya fikir untuk sekadar menyertai Olimpik.

“Kami memerlukan kerjasama semua pihak untuk melahirkan pemenang pingat emas Olimpik. Semua pihak perlu bekerjasama daripada sektor korporat sehinggalah kerajaan. Kita perlukan pelaburan dan pengurusan yang baik bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

Malaysia dipalit ‘sejarah hitam’ apabila buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun, tiada kelibat penerjun wanita akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kegagalan mereka melayakkan diri termasuk dua sandaran utama, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Penerjun wanita Malaysia konsisten beraksi di Olimpik sejak Sydney 2000 dan Pandelela mencipta sejarah menjadi penerjun wanita pertama negara meraih pingat dengan memenangi gangsa acara 10m platform individu di Sukan Olimpik London 2012.

Dia kemudiannya meraih perak bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Olimpik Rio 2016.

Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10m platform individu ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker