Penjenayah naik bot samun warga asing

Oleh – Syeikh Baran


Penjenayah naik bot samun warga asing
Dua lelaki warga asing menempuh detik cemas apabila diacu pisau selain ditampar sebelum disamun sekumpulan individu dalam kejadian di Pulau Ketam pada Khamis.

Dua lelaki warga asing menempuh detik cemas apabila diacu pisau selain ditampar sebelum disamun sekumpulan individu dalam kejadian di Pulau Ketam dekat sini pada Khamis.

Bagaimanapun tindakan tiga penjenayah yang sanggup menaiki bot dipercayai dari Pelabuhan Klang itu mengundang padah apabila kesemua mereka berjaya diberkas pihak polis.



Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kesemua suspek terlibat berumur antara 29 hingga 33 tahun.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa bersama dua lagi rakannya sedang berjalan di kawasan berkenaan.

“Tiga lelaki kemudian mendatangi mereka sebelum bertindak mengacu pisau dan menampar pipi mangsa.

“Suspek terbabit turut mengambil telefon bimbit, salinan pasport dan wang tunai milik mangsa serta rakannya sebelum terus menaiki bot menuju ke Jeti Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Kamalariffin berkata, tindakan pantas pihak polis kemudiannya berjaya memberkas kesemua suspek terbabit kira-kira jam 4 petang.



“Kesemua suspek diberkas susulan maklumat yang diterima berkaitan kejadian, turut dirampas bersama suspek adalah barangan bersama wang tunai milik mangsa.

“Semakan dijalankan mendapati salah seorang suspek dikehendaki berkaitan kes samun di Cheras selain kesemua suspek didapati memiliki 14 rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.



Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading