Dua maut kereta terbabas elak ditahan JPJ

Oleh – Syeikh Baran


Dua maut kereta terbabas elak ditahan JPJ
Anggota bomba sedang mengeluarkan dua mangsa yang tersepit setelah kenderaan dinaiki terbabas sebelum terbalik di Jalan Sabah Forest Industries (SFI) petang semalam.

Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas sebuah kereta terbabas sebelum terbalik di Jalan Sabah Forest Industries (SFI) petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.08 petang itu, pemandu kereta Proton Saga, Mohd Khairul Abdullah, 19 dan penumpang belakang Norsiah@Bibi Faizal, 14, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.



Tiga lagi penumpang hadapan dan belakang berusia lapan, 16 dan 17 tahun parah dan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan, Mail Sundongi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sipitang memaklumkan terdapat kes kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki lima individu.

Katanya, pemandu dan penumpang belakang dalam kemalangan itu meninggal dunia manakala dua parah dan seorang cedera ringan.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dari sebuah pasar raya dan menghala pulang ke Kampung Sibubu, Jalan SFI.



“Ketika kereta dinaiki kelima-lima individu terbabit dalam perjalanan pulang, sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang tugas rondaan mengekori kereta Proton Saga dari belakang dan memasang lampu ‘beacon light’.

“Apabila pemandu Proton Saga melihat kenderaan JPJ, dia terus memecut laju dan sebaik tiba di jalan selekoh menuruni bukit kereta itu hilang kawalan hingga menyebabkan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar pokok tumbang dibahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mail berkata, dua mangsa tersepit dikeluarkan pasukan bomba manakala mangsa yang cedera dibawa oleh ambulans ke Hospital Sipitang untuk rawatan lanjut.

“Kebiasannya JPJ memasang ‘beacon light supaya kenderaan berkenaan berhenti. Bagaimanapun siasatan masih dijalankan. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sipitang untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button