Lelaki maut rempuh belakang lori

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki maut rempuh belakang lori
Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang sebuah lori di kilometer 4.8, Jalan Rawang Bypass menghala ke Selayang, hari ini.

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang sebuah lori di kilometer 4.8, Jalan Rawang Bypass menghala ke Selayang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman kejadian itu pada pukul 9.13 pagi.



“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 28 tahun menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha R15 dari arah Serendah menghala ke Selayang.

“Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Ariffin, kemalangan tersebut menyebabkan mangsa telah tercampak dan terbaring atas jalan raya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Selayang.



“Mayat dibawa ke forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Suharman Che musa di talian 019-6751727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button