Lebih 100 kereta kemalangan

Oleh – Syeikh Baran


Lebih 100 kereta kemalangan
Tiga mangsa dimasukkan ke hospital selepas kemalangan itu. – Yangtze Evening Post

Lebih 100 kenderaan terlibat dalam kemalangan di atas sebuah jejambat di bandar Suzhou, barat Shanghai ketika cuaca sejuk melampau terus menjejaskan perjalanan penduduk di China.

Saluran berita NBC News melaporkan, rakaman kejadian yang dikongsikan di media sosial memaparkan situasi kemalangan berbilang kenderaan di jalan raya dilitupi ais yang mencair.



Sebuah kereta yang dilanggar dilihat terangkat dan menindih kenderaan lain di lokasi kejadian.

Kemalangan itu berlaku sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu, kata polis trafik Taman Perindustrian Suzhou dalam akaun WeChat rasminya.

Tiga mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital, manakala keadaan enam mangsa lain dilaporkan kurang serius. Jalan raya itu kemudian dibuka semula, manakala siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas.

Pegawai tempatan turut memberi amaran kepada penduduk supaya berhati-hati kerana keadaan jalan raya yang licin.



Kawasan di selatan dan tengah China masih dilanda cuaca sejuk melampau, hujan beku dan salji lebat sehingga menjejaskan perjalanan penduduk sepanjang cuti Tahun Baharu Cina.

Pihak berkuasa meningkatkan usaha menyelamat dengan mengerahkan semua pasukan untuk bersiap sedia menghadapi bencana mengejut dan berbahaya pada musim sejuk. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button