Wanita culik penyampai TV untuk dijadikan suami

Oleh – Syeikh Baran


Wanita culik penyampai TV untuk dijadikan suami
Trishna nekad menculik Sistla dalam percubaan terdesak untuk mengahwininya. – Times Now

Seorang wanita di bandar Hyderabad, negeri Telangana nekad menculik seorang penyampai televisyen kerana mahu mengahwininya, lapor laman berita Wion News.

Bhogireddy Trishna, 31 merupakan pemilik sebuah perniagaan pemasaran digital di Hyderabad.



Menurut polis, Trishna melihat profil seorang penyampai televisyen, Pranav Sistla di sebuah laman mencari jodoh dua tahun lalu.

Trishna mula berbalas mesej dengannya, tetapi kemudian menyedari bahawa akaun tersebut palsu. Dia kemudian menghubungi Sistla dan memberitahunya mengenai perkara itu.

Sistla membuat laporan polis setelah mendapati akaun palsu itu menggunakan gambarnya. 

Trishna bagaimanapun terus melakukan gangguan dengan menghantar mesej kepada Sistla sehingga menyebabkan mangsa menyekat nombor telefonnya.



Menurut polis, Trishna merancang untuk memenuhi impiannya dan berkahwin dengan Sistla. Dia memasang peranti penjejak AirTag pada kereta Sistla untuk menjejaki keberadaan mangsa.

Trishna kemudian mengupah empat lelaki untuk menculik Sistla pada 11 Februari lalu. Mereka membawa mangsa ke pejabat Trishna dan memukulnya dengan teruk. 

Setelah dibebaskan, Sistla terus ke balai polis Uppal untuk memfailkan aduan.

Polis menahan suspek dan empat lelaki yang diupahnya untuk melakukan penculikan itu kelmarin. Siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan. – AGENSI



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button