Pertukaran banduan: Bintang bola keranjang AS diganti pengedar senjata Russia

WASHINGTON: Bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Brittney Griner, dibebaskan dari penjara Russia semalam, sebagai pertukaran dengan pembebasan pedagang senjata Russia, Viktor Bout.

Presiden AS, Joe Biden, berkata pertukaran Bout, 55, yang terkenal sebagai gelaran ‘Saudagar Kematian’, dengan Griner, 32, dilakukan selepas rundingan yang penuh ketelitian dan tegang.

Pertukaran Griner, 32, yang ditangkap di Russia pada Februari lalu atas tuduhan memiliki dadah dan Bout, yang menjalani hukuman penjara 25 tahun di AS, dilakukan di lapangan terbang di Abu Dhabi.



Dalam rakaman yang dikeluarkan media Russia, Griner, yang dicukur rambutnya dan Bout yang kelihatan santai, melintasi laluan di landasan lapangan terbang, menuju ke arah pesawat yang akan membawa mereka pulang ke negara masing-masing.

Biden mengumumkan pembebasan Griner dalam ucapannya kepada rakyat di Rumah Putih, namun dikritik aktivis kemanusiaan kerana melepaskan Bout, yang juga pembekal senjata utama kepada kumpulan pengganas, pemberontak dan diktator di serata dunia mendalangi pelbagai konflik antarabangsa.

“Dia (Griner) selamat, dalam pesawat dan dalam perjalanan pulang. Saya sudah bercakap dengan beliau dan atlet itu berada dalam semangat yang baik selepas mengalami trauma yang tidak perlu,” katanya.

Griner, pemenang dua kali pingat emas Olimpik, juara Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan Wanita (WNBA) dan pelopor LGBT, ditahan di lapangan terbang Moscow sembilan bulan lalu, ketika ketegangan yang memuncak di Ukraine.



Dia dituduh memiliki kartrij vape dengan kuantiti minyak ganja yang kecil dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun pada Ogos.

Bout, yang dituduh membekalkan senjata kepada pemberontak dalam beberapa konflik paling berdarah di dunia, ditahan dalam operasi AS di Thailand pada 2008, diekstradisi ke AS dan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada 2012.

Ketika keluarga dan rakan Griner meraikan pembebasannya, seorang lagi warga AS yang ditahan di Russia, bekas anggota marin AS, Paul Whelan, yang ditahan pada 2018 atas tuduhan mengintip, tidak menjadi sebahagian daripada pertukaran semalam dan Whelan memberitahu CNN, yang dia ‘sangat kecewa’.

“Saya tidak faham mengapa saya masih duduk di sini,” kata Whelan kepada rangkaian televisyen AS dalam panggilan telefon dari penjara Russia, tempat dia dipenjarakan.



Biden berjanji untuk mendapatkan pembebasan Whelan, dengan berkata: “Kami tidak akan berputus asa.

“Malangnya, atas sebab yang sama sekali tidak sah, Russia melayan kes Paul berbeza daripada Griner,” katanya.  AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button