Stoking hina Islam: Biar polis siasat

Oleh – Syeikh Baran


Stoking hina Islam: Biar polis siasat
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – Foto BH

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada polis memanggil mana-mana pihak bagi melengkapkan siasatan berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setakat ini, sudah beberapa laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak mengenai perkara itu.



“Sudah ada sejumlah laporan polis, biar hal itu diuruskan oleh polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan isu terbabit dan sama ada polis sudah memanggil rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart bagi membantu siasatan.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.



Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Media kelmarin melaporkan Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Malah, hari ini Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.



Mengenai kes pembaca berita dan pengacara yang menyifatkan tindakan polis sebagai kasar, sombong dan tidak beretika ketika menjalankan tugas, Saifuddin berkata, kes terbabit akan ditangani dengan adil.

Katanya, ia bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita berlaku adil dan kita dapat dari dua dua versi, ia termasuk versi pengadu dan versi anggota polis yang bertugas. Barulah kita boleh tahu kedudukan sebenar.

“Oleh kerana hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan, polis tidak selamanya betul dan pengadu juga ada buat silap. Jadi dalam kes ini, jelas di mana pengadu ada versi dia,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading