Calon presiden Indonesia Anies cabar keputusan pilihan raya

 

Oleh Pena Merah

Calon presiden Indonesia Anies cabar keputusan pilihan raya
Anggota pasukan undang-undang pencabar pilihan raya presiden Indonesia, Anies Baswedan bercakap kepada media selepas memfailkan petisyen pilihan raya Februari 2024, yang dimenangi Menteri Pertahanan Prabowo Subianto di tengah-tengah dakwaan penyelewengan dan penipuan, di Mahkamah Perlembagaan di Jakarta hari ini

Calon presiden Indonesia yang tewas pada pilihan raya lalu, Anies Baswedan memfailkan petisyen di Mahkamah Perlembagaan hari ini bagi mencabar keputusan pilihan raya dimenangi Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.

Anies yang juga bekas Gabenor Jakarta, berkata tujuan tuntutan itu dibuat bagi memastikan demokrasi dipertingkatkan.



Beliau turut mendakwa terdapat banyak masalah dalam pilihan raya itu yang perlu diperbetulkan.

Anies enggan mengalah selepas keputusan dikeluarkan semalam dan partinya mendakwa kerajaan semasa secara tidak adil mempengaruhi pilihan raya itu, walaupun ia sebelum ini ditolak oleh pihak berkuasa.

Keputusan rasmi menunjukkan bekas komander pasukan khas, Prabowo Subianto, yang disokong Presiden Joko Widodo atau Jokowi menang dengan hampir 60 peratus undian, diikuti Anies (25 peratus) dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo (16 peratus).

“Proses dan keputusan pilihan raya ini sama penting. Apabila ada proses yang bermasalah, akan ada keputusan yang bermasalah.



“Daripada aspek dasar, peraturan, hingga pelaksanaan (pilihan raya) terdapat banyak masalah dan kita mahu perkara itu diperbetulkan supaya tidak berulang,” katanya pada sidang media hari ini.

Parti Anies turut merungut mengenai peruntukan bantuan sosial yang meluas, seperti beras, baja dan pemberian wang tunai, di kawasan utama pilihan raya, yang menurut mereka mempengaruhi undi. Bagaimanapun, kerajaan menolak dakwaan terbabit.

Mereka turut mengkritik keputusan saat akhir Mahkamah Perlembagaan tahun lalu untuk mengubah peraturan pilihan raya yang membenarkan anak presiden menjadi regu Prabowo.

Ketua Hakim Negara pada masa itu adalah abang ipar Jokowi. Hakim ditegur panel etika kerana sengaja membenarkan ‘campur tangan daripada pihak luar’ yang tidak didedahkan namanya, namun tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana kes pilihan raya di mana beliau boleh mempunyai konflik kepentingan.



Jokowi sebelum ini menolak dakwaan beliau campur tangan dalam keputusan mahkamah.

Kedua-dua kem yang kalah mendakwa proses pilihan raya dicemari penyelewengan pengiraan undi yang meluas dengan pasukan Ganjar Pranowo juga dijangka mencabar keputusan terbabit.

Mengikut peraturan, kes mesti difailkan dalam tempoh tiga hari selepas keputusan diumumkan.

Prabowo yang juga bekas komander mendapat perhatian di Tik Tok selepas melakar kemenangan dengan bantuan pengundi muda.



Mengulas keputusan pilihan raya, Prabowo semalam mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya termasuk Jokowi dan berjanji untuk menjadi pemimpin kepada semua rakyat Indonesia.

Parti Prabowo berkata, pihaknya mempunyai lebih 30 peguam yang bersedia untuk berdepan sebarang cabaran undang-undang. – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading