Kondo mewah resort jadi ‘lubuk’ scammer warga asing

Oleh – Syeikh Baran


Kondo mewah resort jadi ‘lubuk’ scammer warga asing
Serbuan dijalankan ke atas beberapa unit kondominium mewah, Isnin lalu. FOTO ihsan: JIM KL

Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membongkar aktiviti penipuan dalam talian melibatkan warga asing menerusi Ops Serkap yang dilaksanakan di sebuah kondominium mewah resort di Jalan U-Thant, di sini, Isnin lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 4.30 petang itu, JIM KL turut menyaman pemilik tempatan yang membiarkan kondominium itu dijadikan lubuk scammer seperti aduan diterima daripada orang awam



Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi disertai seramai 36 pegawai pelbagai pangkat daripada JIM KL dengan bantuan kekuatan daripada Ibu Pejabat Jabatan Imigresen , Putrajaya, serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) KL.

“Serbuan dan pemeriksaan dilakukan ke atas beberapa unit kondominium dan sekitar laman resort yang dikawal ketat oleh dua lapisan kawalan keselamatan.

“Seramai 28 individu diperiksa dan enam daripadanya merupakan warga asing berusia lingkungan 35 hingga 56 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga China dan Myanmar.



“Kita telah mengeluarkan satu keping saman kepada saksi kepada pemilik kondominium resort warga tempatan bagi membantu siasatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, beberapa unit premis kondominium resort tersebut dipercayai digunakan sebagai pusat aktiviti penipuan dengan penglibatan ‘scammer’ secara dalam talian.

“Terdapat beberapa buah komputer riba, set komputer berskrin besar, tablet, telefon bimbit, ‘router’ wifi dan sejumlah 11 pasport antarabangsa ditinggalkan di dalam bilik beberapa unit kondominium berkenaan.

“Mereka dipercayai telah melarikan diri melalui tingkap belakang apabila menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa,” katanya.



Kesemua tangkapan dibuat adalah di bawah kesalahan yang dikenal pasti telah melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Kita ingin mengingatkan kepada pemilik-pemiik premis dan majikan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan petualang negara yang didapati melindungi PATI atau membenarkan PATI memasuki dan berada di dalam premis mereka.

“Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya didapati telah berlaku pelanggaran undang-undang negara yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam,” tegasnya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button