Syarikat peleburan aluminium cemar udara didenda RM70,000

Oleh – Syeikh Baran


Syarikat peleburan aluminium cemar udara didenda RM70,000
Gambar Hiasan

Syarikat menjalankan operasi peleburan aluminium aloi sekunder didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga kesalahan termasuk beroperasi tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (LPKAS) hingga menyebabkan pencemaran udara.

Hakim Azaraorni Abd Rahman memutuskan hukuman itu selepas syarikat Trimax Metal Sdn Bhd, selaku Orang Kena Saman(OKS) dan diwakili Penolong Pengurusnya, Lim Ee Chien,41, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, OKS didapati membina loji pulih guna bagi menjalankan aktiviti peleburan sekerap aluminium tanpa mendapat kelulusan LPKAS terlebih dahulu seperti ditetapkan di bawah Jadual Pertama, Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Oleh itu OKS melakukan kesalahan Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan boleh dihukum mengikut akta sama, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, OKS didapati tidak memberitahu Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling tidak lebih daripada sejam berlakunya kegagalan Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) semasa menjalankan aktibiti peleburan sekerap aluminium hingga berlaku pencemaran udara.

Pertuduhan adalah mengikut Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, AKAS 1974 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 29, peraturan sama, memperuntuk hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Seterusnya, OKS didapati mengganggu Arahan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(c) AKAS 1974 yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2021 bagi tiga unit Alat Pembakaran Bahan Api digunakan di premis itu bagi aktiviti peleburan sekerap aluminium.

OKS didakwa melakukan kesalahan Seksyen 38(1)(c) AKAS 1974 dan boleh dihukum mengikut Sekyen 41 akta sama, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat itu di Jalan TTC 8, Taman Teknologi Cheng, dekat sini, pada 16 Februari 2022, antara jam 3.20 pagi hingga 3.40 petang.

Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Norsora Mohd Jadi yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada OKS.

Katanya, kesalahan dilakukan adalah berulang malah OKS pernah disabitkan ada tiga kesalahan pada 2021 dan didenda keseluruhan RM52,000.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah atas alasan kilang itu sudah ditutup.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mengenakan denda RM50,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker