Orang Asli cedera diserang harimau

Oleh – Syeikh Baran


Orang Asli cedera diserang harimau
ORANG Asli cedera diserang harimau, mendapat rawatan lanjut di HRPB Ipoh. FOTO FB.

Lelaki Orang Asli cedera selepas diserang harimau belang ketika melakukan aktiviti menyumpit tupai dan mengutip hasil hutan bersama rakan di Sungai Kenarong dekat Taman Negeri Royal Belum, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada 5.30 petang mengakibatkan mangsa berusia 52 tahun dari Kampung Orang Asli Sungai Tiang cedera di muka dan beberapa anggota badan akibat cakaran binatang buas itu.



Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung insiden pada 9.30 malam ketika mangsa dirawat di Hospital Gerik.

Menurutnya, mangsa dan tiga rakannya ke kawasan hutan itu yang juga habitat utama spesies harimau belang dengan menaiki bot.

“Mangsa berjalan memasuki hutan untuk menyumpit tupai, manakala tiga rakannya berada di bot, sebelum tiba-tiba seekor harimau belang datang menyerang mangsa dari arah kanan.

“Selepas itu harimau itu melarikan diri dan mangsa bergerak ke tasik serta menaiki bot untuk pulang ke Kampung Sungai Tiang. Ketika kejadian hujan renyai,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik oleh Tok Batin pada 8.30 malam untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada 11 malam.

“Perhilitan Daerah Gerik akan membantu mangsa membuat permohonan Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas. Waris mangsa juga diminta untuk membuat laporan polis berkaitan serangan itu,” katanya.

Sumber – HARIAN  METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading