Dunia gesa Iran, Israel bertenang

Oleh – Syeikh Baran


Dunia gesa Iran, Israel bertenang
Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat mengenai situasi di Asia Barat di New York semalam. – AFP

Kuasa-kuasa dunia menggesa agar kemelut Iran-Israel diredakan berikutan kebimbangan konflik tersebut boleh mencetuskan perang lebih meluas di rantau Asia Barat.

Gesaan itu dibuat ketika mesyuarat tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang mendengar hujah daripada kedua-dua pihak berhubung serangan tersebut.



“Rantau tersebut mahupun dunia tidak mampu lagi menampung lebih banyak peperangan. Asia Barat berada di ambang (perang).

“Penduduk di rantau itu sedang berhadapan dengan bahaya sebenar konflik berskala penuh yang membawa kemusnahan. 

“Sekarang adalah masa untuk meredakan kemelut ini,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kepada Majlis Keselamatan badan dunia itu ketika ia bermesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut.

Iran melancarkan serangan pada lewat malam kelmarin hingga semalam, iaitu kali pertama ia dilakukan ke arah Israel secara langsung.



Ia dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan udara maut yang memusnahkan bangunan konsulat Tehran di ibu negara Syria, Damsyik pada 1 April lalu dengan Israel dituduh sebagai dalang.

Israel dan sekutu-sekutunya memintas sebahagian besar serangan daripada lebih 300 peluru berpandu kruz dan dron, demikian menurut tentera Israel.

Ia berlaku selepas lebih enam bulan tentera Israel menyerang Semenanjung Gaza dalam perangnya menentang Hamas sehingga menimbulkan kecemasan antarabangsa.

Sementara itu, Duta Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani berkata, Republik Islam Iran  menggunakan hak-haknya untuk mempertahankan diri dan tidak mempunyai pilihan selain bertindak. 



Beliau menegaskan bahawa negaranya enggan memulakan peperangan tetapi akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman atau pencerobohan Israel.

“Majlis Keselamatan gagal dalam tugasnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Sudah tiba masanya untuk Majlis Keselamatan memikul tanggungjawabnya dan menangani ancaman sebenar terhadap keamanan serta keselamatan antarabangsa.

“Badan ini mesti mengambil langkah segera dan menghukum serta memaksa rejim itu (Zionis) menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza,” tegas Amir. – AGENSI 



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading