Bapa didakwa membunuh

Oleh – Syeikh Baran


Bapa didakwa membunuh
Mohamad Aizat (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Foto oleh Amir Khalid/ Kosmo!

Seorang bapa yang dipercayai mendera anak kandung lelakinya berusia enam bulan hingga maut, didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohamad Aizat Samin, 25, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.



Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

“Faham, (pertuduhan)” katanya ringkas.

Mengikut pertuduhan Mohamad Aizat didakwa telah membunuh anak kandungnya Muhammad Aysar Wildan yang berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini antara pukul 8 malam pada 14 April hingga 7 pagi pada 15 April lalu (2024).

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman manakala tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu diwakili peguam Arif Azmi.



Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes selain mengetahui perkembangan laporan kimia, bedah siasat, toksikologi dan forensik.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa kandung bayi berkenaan kira-kira pukul 8.52 pagi.

Mohamad Nasir berkata, bagaimanapun hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada kecederaan dikesan pada badan mangsa sebelum dihantar ke Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.



Bagaimanapun, pakar mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan tetapi disebabkan perbuatan jenayah ke atas mangsa. Ia apabila bayi malang itu mengalami keretakan di kepala akibat dihentak pada sofa.

Selain kecederaan itu, mulut mangsa juga disumbat dengan kain, badan ditelangkup sebelum dibiarkan dalam bilik tanpa dipasang kipas.

Menurut isteri suspek berusia 20 tahun, suspek seperti berada di bawah pengaruh dadah sebelum dia meninggalkan kediaman untuk keluar makan malam bersama keluarganya sekitar pukul 8 malam.

Suspek dikatakan ‘naik berang’ berpunca bunyi bising dan tidak tahan mendengar tangisan bayi lelaki berkenaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading