Pelajar rebah ketika merentas desa disahkan meninggal dunia

Oleh – Syeikh Baran


Pelajar rebah ketika merentas desa disahkan meninggal dunia
Bibi Sharliza ketika menziarahi ibu pelajar lelaki tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di HTAN yang disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, pagi tadi. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH

Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, di sini, disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, berasal dari Nilai, telah menyertai acara tersebut sejauh tujuh kilometer.



Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab, kira-kira pukul 8 pagi, pelajar tersebut terlibat dalam Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah dengan anggaran 700 pelajar menyertai acara tersebut.

“Setelah acara larian dimulakan, pelajar berkenaan telah memulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer dan kira-kira pukul 9.30 pagi, semasa menghampiri garis penamat sekitar 50 meter, pelajar tersebut telah rebah dan tidak sedarkan diri.

“Guru yang ada telah memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar tersebut tidak memberikan sebarang tindak balas. Kemudian pihak sekolah telah menghubungi talian kecemasan dan ambulans dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah tiba dan memberikan bantuan kira-kira 10 minit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Syahrul Anuar lagi, pelajar berkenaan telah dibawa menaiki ambulans untuk di bawa ke Unit Kecemasan, HTAN dan kira-kira pukul 10.15 pagi, dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar tersebut disahkan telah meninggal dunia.



Menurutnya, berdasarkan keterangan ayah pelajar berkenaan yang berusia 43 tahun, pada tahun 2016, pelajar tersebut telah disahkan menghidap penyakit Jantung Berlubang.

“Pelajar berkenaan mempunyai Kad Rawatan bagi penyakitnya itu dari Institut Jantung Negara (IJN) dan sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Sementara itu, keluarga pelajar berkenaan yang ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik, HTAN masih terkejut dan bersedih dengan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun menurut wakil keluarga, jenazah bakal dikebumikan di Nilai selepas urusan di HTAN selesai.



Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang hadir melawati keluarga memohon agar orang ramai tidak menularkan maklumat yang salah mengenai kejadian berkenaan.

“Dari apa yang dimaklumkan kepada saya, pelajar ini tak berlari sangat, mungkin dalam keadaan kesihatan dia. Dia dalam keadaan tak selesa lalu jatuh. Alhamdulillah saya dah berjumpa ibu pelajar berkenaan dan mereka menerima dengan baik.

“Ibunya maklum, anaknya suka nak buat perkara itu (merentas desa) dan bila bersama kawan-kawan, dia (pelajar berkenaan) terlupa dia sakit. Saya harap perkara ini tidak ditularkan dengan salah.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading