Tak sekolah, terkurung dalam rumah tanda mangsa dera

Oleh – Syeikh Baran


Tak sekolah, terkurung dalam rumah tanda mangsa dera
Gambar Hiasan

Kes penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan aliran peningkatan yang membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakang apabila ada berjaya dilaporkan dan ada juga masih disembunyi.

Bagaimanapun, masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjejak kes penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku di kawasan sekitar menerusi beberapa pemantauan.



Pegawai perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan menerusi perkongsiannya di kumpulan Telegram berkata, terdapat empat tanda utama yang boleh diteliti oleh jiran-jiran dalam mengenalpasti sama ada kanak-kanak itu adalah mangsa dera.

“Pertama, sering mendengar tangisan dan jeritan oleh kanak-kanak terbabit. Kedua, kanak-kanak itu tidak bebas bermain bersama rakan-rakan di luar rumah.

“Selain itu, kanak-kanak itu juga sering terkurung di dalam rumah serta tidak dihantar ke sekolah dan sering ponteng,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar sekiranya masyarakat sekeliling melihat tanda-tanda tersebut berlaku di kawasan tempat tinggal masing-masing, segera hubungi talian bantuan untuk tindakan seterusnya.



Terdahulu, seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut disyaki didera bapa kandungnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di Kajang, Selangor, 15 April lalu.

Perkara itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepalanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak 6,770 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di negara ini pada tahun 2022, meningkat 626 kes berbanding 6,144 kes pada tahun sebelumnya.

“Setakat Ogos tahun lalu pula, sebanyak 5,216 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading