7 tahun azab di jel Bangladesh kerana emas
7 tahun azab di jel Bangladesh kerana emas
WARIS keluarga mangsa berkumpul di pekarangan Wisma Putra pada penyerahan memorandum berhubung kes warga Malaysia yang dipenjara seumur hidup di Bangladesh. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFAPUTRAJAYA: “Saya rendah diri memohon ihsan kerajaan agar tolonglah bebaskan anak saya. Dia sudah tujuh tahun sengsara,” rayu Siti Fatimah Hanafi dengan penuh sebak.
Wanita berusia 69 tahun itu malahan jelas tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila menitis air mata pilu mengenangkan nasib malang anaknya, Mohd. Azwan Salihin.
Lelaki berkenaan yang kini berusia 28 tahun antara tiga orang warga Malaysia yang dihukum penjara seumur hidup kerana membawa masuk emas ke Bangladesh pada 2015 lalu.
Turut dikenakan penalti berat sama ialah Johari Harun dan Hee Wool Khong dengan mereka bertiga bakal menghabiskan sisa hidup serta meninggal dunia di penjara negara itu.
Anehnya, ramai rakyat negara lain yang melakukan kesalahan sama bahkan berat logam bernilai itu jauh lebih berat pula hanya dikenakan tempoh hukuman penjara cukup ringan.
Kesal dengan sikap dwistandard Bangladesh ke atas rakyat negara ini, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil cuba membantu semua mangsa terbabit.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Perdana Menteri Dedahkan Penipuan Muhyiddin Sepanjang PKP & Darurat
- Ucapan Presiden di PAU Januari 2023 dijangka panas berapi.
- Mahathir Bidas Anwar Lantik Zahid Tapi Lupa Pernah Lantik Lim Guan Eng
Hari ini, organisasi tersebut diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim hadir bagi menyerahkan memorandum berhubung isu itu kepada pihak Kementerian Luar.
“Kami bukan cuba campur tangan soal perundangan Bangladesh, tetapi merayu agar diberikan pertimbangan atas dasar perikemanusiaan,” kata beliau ketika ditemui pemberita.
Memorandum tersebut diterima wakil Wisma Putra yang berjanji akan membawa perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka untuk bantu mangsa sewajarnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pihak MHO menerima kes itu pada mula setelah dihubungi kakak Mohd. Azwan yang cuma mahu dikenali sebagai Su baru-baru ini.
Mereka sekeluarga cuba pelbagai cara termasuk menghabiskan banyak wang dan tenaga pergi terus ke Bangladesh untuk mengupah peguam bagi membebaskan mangsa.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Hadi Awang Di Siasat Polis, Lebih ‘Sejuta’ Pemuda PAS Berhimpun
- Azam Baki: SPRM Buka Kertas Siasatan Isu RM600 Bilion
- Siapa ‘fitnah’ Arman belakangkan Zahid?
Malangnya, usaha keluarga yang berasal dari Kedah itu ternyata sia-sia apabila mereka ditipu banyak pihak di negara tersebut yang mengambil kesempatan ke atas warga asing.
Pada masa sama, mereka juga ada meminta pertolongan daripada pejabat misi diplomatik Malaysia di Dhaka dan Unit Konsular Wisma Putra namun maklum balas agak perlahan.
Justeru, Hishamuddin yang bersimpati dengan permasalahan keluarga itu mula mencari jalan dan mendapati ada dua lagi warga Malaysia yang turut menerima nasib buruk serupa.
“Kami juga mohon jasa baik Menteri Luar baharu, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk manfaat saluran diplomatik dan hubungan baik Malaysia dengan Bangladesh,” katanya.
MHO turut akan meminta bantuan wakilnya di negara rantau Asia Selatan itu bagi cuba berunding dengan pelbagai agensi dan mempercepatkan misi pembebasan tiga mangsa ini.
Dalam pada itu, isteri Johari, Maiza Mohd. Nor, 48, yang juga hadir bersama enam anak mereka berkata, beliau sedih mengingatkan azab ditanggung suaminya di penjara sana.
Pasangan itu yang merupakan peniaga pasar malam di Semenyih, Selangor menambah, anak-anaknya terutama yang kembar bongsu amat merindukan bapa mereka selama ini.
Malahan ketika mula dipenjara, kedua-dua anak kecil itu baru berusia tiga tahun dan tidak sempat merasai kasih sayang bapa mereka kecuali menatap dari gambar-gambar lama. – UTUSAN
7 tahun azab di jel Bangladesh kerana emas