‘Kami rasa tak selamat…’

Melaka: Kemunculan etnik Rohingya di Melaka bukan perkara baru namun jumlah pelarian kini mencecah ribuan orang mula mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan terutama berkait isu sosial, kebersihan dan keselamatan.

Tinjauan di Jalan Pulau Senang 3, Semabok yang menjadi antara penempatan utama etnik itu mendapati mereka semakin menguasai kawasan itu apabila turut membuka kedai runcit tanpa lesen, madrasah dan kelas untuk mengajar anak-anak di bangunan yang disewa.

Harian Metro difahamkan terdapat hampir 200 orang etnik itu termasuk kanak-kanak membabitkan 27 keluarga di kawasan itu sahaja.



Seorang penduduk tempatan, Mohd Shahril Samah, 43, berkata, tiada masalah ketika etnik terbabit mula bertapak di situ sekitar tujuh tahun lalu namun keadaan berubah apabila bilangan mereka semakin ramai.

Katanya, mereka juga dilihat bebas dan ‘kebal’ dengan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bagi memudahkan mereka bergerak dan bekerja.

“Sebelum ini ada kalangan mereka ini terbabit masalah sosial apabila sering mabuk dan bergaduh sesama sendiri hingga mengganggu ketenteraman penduduk lain.

“Ada yang gemar berkumpul beramai-ramai sehingga lewat pagi dan membuat bising hingga mengganggu ketenteraman penduduk, namun semakin berkurangan apabila aduan dibuat kepada pihak berkuasa yang datang membuat pemeriksaan.



“Kemuncaknya, apabila berlaku kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dicabul lelaki Rohingya bulan lalu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, kejadian mengejutkan itu menyebabkan penduduk tempatan berasa bimbang keselamatan terutama anak-anak mereka dan mendesak tindakan segera dilakukan pihak berkuasa serta kerajaan negeri bagi menangani isu kebanjiran etnik Rohingya di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Semabok Luar, Mansor Yahya pula berkata, pihaknya kesal dengan sikap etnik Rohingya yang tidak menjaga kebersihan apabila melonggokkan sisa barangan terpakai di sekitar penempatan mereka.

“Ada dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai pemotong rumput, buruh kontrak dan pencari besi buruk. Masalah berlaku apabila sisa barangan terpakai seperti peti ais, televisyen dan basikal yang dileraikan bagi mendapatkan unsur besi dan tembaga terbiar berselerak serta dilonggokkan di sekitar rumah hingga menjejaskan pemandangan dan dibimbangi jadi tempat pembiakan nyamuk aedes.



“Ada juga yang mengubah suai rumah tanpa kebenaran pemilik hingga menyebabkan longkang di belakang rumah tersekat.

“Masalah sama turut berlaku di satu lagu penempatan etnik Rohingya di Jalan Bunga Raya 4,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button