Dua penunggang motosikal maut diseret lori alami masalah brek, hilang kawalan

Dua penunggang motosikal maut diseret lori alami masalah brek, hilang kawalan

Dua penunggang motosikal maut diseret lori alami masalah brek, hilang kawalan
Keadaan lori yang terbabit dalam insiden kemalangan membabitkan lima kenderaan dan dua penunggang motosikal mati di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan di sini, awal pagi tadi.- Foto NSTP/JBPM Johor

ISKANDAR PUTERI: Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam insiden kemalangan membabitkan lima kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata kejadian kira-kira 5.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek dan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah treler, sebuah bas dan dua motosikal yang berada di lorong kiri plaza tol itu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun hilang kawalan lalu bergesel dengan empat kenderaan lain yang berada di lorong kiri dekat plaza tol berkenaan.



“Semua kenderaan itu sedang menghala ke Singapura dan kedua-dua penunggang motosikal parah di bahagian kepala dan badan akibat diseret lori sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pemandu treler dan bas tidak cedera manakala pemandu lori mengadu sakit di bahagian dada.

“Terdapat 29 penumpang dalam bas dan semuanya tidak mengalami kecederaan dan mereka telah menaiki bas ganti untuk pergi ke Singapura,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut adalah lelaki warga tempatan berusia 49 dan 54 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

Rahmat berkata, kedua-dua mayat penunggang motosikal itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya itu pada jam 6.04 pagi.



Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh, berkata 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

“Terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal terperangkap di bawah lori yang membawa muatan Compound PVC.


“Tindakan operasi menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ untuk mengangkat lori, namun tidak berjaya. PKO bertindak meminta bantuan sebuah kren yang melalui lokasi berkenaan bagi mengangkat lori terbabit sebelum mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi penunggang motosikal turut meninggal dunia dan mayat kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 7.22 pagi.

Dua penunggang motosikal maut diseret lori alami masalah brek, hilang kawalan


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading