Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dijumpai terbaring di tepi jalan di Taman Tenaga, Cheras dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan klip video keadaannya itu tular di media sosial hari ini, dipercayai dipukul dan disamun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, isteri lelaki itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian, dan lelaki itu kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, di sini.

“Berdasarkan siasatan awal kita percaya lelaki itu dipukul dan disamun oleh dua lelaki warganegara tempatan, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi.



Beliau berkata polis percaya dua lelaki dilihat menaiki motosikal, yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular itu, adalah suspek utama kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan. Sekiranya terdapat sebarang maklumat, sila hubungi Hotline Polis Cheras dengan menelefon 03-9284 5050/ 5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

METRO

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button