Tiga lelaki ditahan bantu siasatan pergaduhan di pusat hiburan


Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

06/01/2021 11:49 PM

JOHOR BAHRU, 6 Jan — Polis menahan tiga lelaki, petang tadi, bagi membantu siasatan pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, dekat sini, dua hari lepas, yang mana video kejadian tersebut tular dalam laman sosial.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga mereka yang berumur antara 21 dan 28 tahun itu ditahan di Skudai, kira-kira 7 petang, dan kini disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.



Beliau berkata usaha sedang diteruskan, untuk menahan saki baki suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu, selain polis dalam masa sama sedang memastikan sama ada terdapat sebarang elemen kongsi gelap turut terlibat.

“Pada 6.30 petang semalam, satu video tular melibatkan pergaduhan sekumpulan lelaki di dalam sebuah pusat hiburan dan kaki lima kedai, telah dikesan pihak polis.

“Hasil semakan terhadap video berkenaan, polis mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira 11.45 malam, di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Sabtu lepas (4 Jan),” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Ayob Khan berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan terbabit berpunca apabila teman wanita seorang daripada pengunjung premis itu telah diganggu lalu menyebabkan kekecohan, sekali gus mengakibatkan pengunjung lain mengambil kesempatan sehingga terjadinya pergaduhan sesama mereka.



Beliau berkata pada 10 malam semalam, polis turut melakukan serbuan di premis tersebut dan kemudian merampas sejumlah peralatan muzik.

Menurutnya, pemilik premis berkenaan turut dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor, kerana beroperasi tanpa lessen hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Premis itu juga didapati sebelum ini sudah dikenakan empat kali tindakan mengikut enakmen sama, katanya.

“Polis sehubungan itu menasihati pengusaha pusat hiburan supaya mematuhi SOP PKPB dan polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pusat hiburan yang ingkar. Polis juga memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu, supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.



Ahli perniagaan jual nama ketua polis Johor, cuba rasuah polis ditahan


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading